Mayweather hilang gelaran

Mayweather hilang gelaran

TORONTO, 7 Julai (Reuters) – Jaguh tinju Floyd Mayweather Jr dilucutkan gelaran dunia kelas welterweight yang dimenanginya selepas menewaskan Manny Pacquiao, tahun ini selepas gagal memenuhi peraturan, kata Pertubuhan Tinju Dunia (WBO), semalam.

Mayweather yang melebarkan rekod kemenangan kepada 48-0 dengan menewaskan jaguh Filipina itu pada Mei lalu, terlepas tarikh akhir dia perlu membayar yuran kemasukan berjumlah AS$200,000 untuk perlawanan terbabit.

Selain itu, gelarannya dalam kelas junior middleweight juga mungkin akan dikosongkan, kata WBO dalam satu kenyataan.

WBO berkata, adalah melanggar peraturan bagi seseorang peninju untuk memegang beberapa gelaran dunia dalam kelas berbeza dan Mayweather perlu memberitahu kelas berat mana yang ingin dikekalkannya.

Floyd Mayweather Jr. bergambar bersama talipinggang kejuaraan selepas menewaskan Manny Pacquiao dalam penyatuan gelaran welterweight WBO, WBC dan WBA (Super) di Las Vegas, Nevada 2 Mei lalu. – Reuters
Floyd Mayweather Jr. bergambar bersama talipinggang kejuaraan selepas menewaskan Manny Pacquiao dalam penyatuan gelaran welterweight WBO, WBC dan WBA (Super) di Las Vegas, Nevada 2 Mei lalu. – Reuters

“Jawatankuasa Kejuaraan Dunia WBO tidak mempunyai sebarang alternatif selain tidak mengiktiraf Floyd Mayweather Jr. sebagai Juara Dunia Welterweight WBO dan mengosongkan gelaran itu selepas gagal memenuhi peraturan Pertandingan Kejuaraan Dunia WBO,” kata WBO dalam kenyataan.

Mayweather yang memperoleh lebih AS$200 juta daripada perlawanan menentang Pacquiao diberi tempoh dua minggu untuk membuat rayuan.