Mayweather kini jaguh terunggul

Mayweather kini jaguh terunggul

LAS VEGAS (AFP) – Floyd Mayweather Jr. mencatat kemenangan secara sebulat suara ke atas Manny Pacquiao di sini semalam untuk mengungguli pertarungan paling lumayan dalam sejarah sukan tinju, sekali gus membuktikan dirinya sebagai petinju yang tiada tandingan.

Bagaimanapun, kemenangan Mayweather diejek oleh penyokong Pacquiao di ge­langgang MGM Arena sebaik sahaja kemenangannya disahkan oleh tiga hakim selepas pertarungan 12 pusingan itu tamat.

Mayweather yang kelihatan cukup selesa untuk mengalahkan pencabarnya dari Filipina itu, tidak memberi walau sedikit ruang apabila melepaskan tumbukan ke muka Pacquiao yang agresif sejak awal.

Kemenangan tersebut melebarkan rekod kemenangan Mayweather kepada 48-0 selama 19 tahun tanpa tewas, dan menghampiri pencapaian legenda Rocky Marciano yang mencipta kejayaan 49-0.

Mayweather, 38, mengekalkan gelaran welterweight Majlis Tinju Dunia (WBC) dan Persatuan Tinju Dunia (WBA) serta merampas tali pinggang Pertubuhan Tinju Dunia (WBO) milik Pacquiao setelah memenangi pertarungan itu.

Mayweather bercakap dalam satu sidang akhbar di MGM Grand Garden Arena selepas pertarungan dengan Pacquiao kelmarin. – AFP
Mayweather bercakap dalam satu sidang akhbar di MGM Grand Garden Arena selepas pertarungan dengan Pacquiao kelmarin. – AFP

“Dia seorang petinju yang pelik, jadi saya terpaksa mengambil masa dan menelitinya dengan lebih dekat. Kesemua 47 pertarungan sebelum perlawanan ini telah memainkan peranan besar dalam karier saya.

“Manny Pacquiao merupakan juara sebenar dan kami memberikan yang terbaik malam ini (semalam). Apabila sejarah telah tertulis, pertarungan ini menjadi satu pertembungan yang sangat berbaloi untuk dinantikan,” kata Maywea­ther.

Perlawanan antara kedua-dua petinju tersebut dipercayai paling lumayan dalam sejarah tinju dengan pendapatan berjaya diraih seba­nyak AS$400 juta (RM1.43 billion).

Hakim pertarungan Dave Moretti memberi markah 118-110 yang berpihak kepada Mayweather, sementara dua lagi juri Glenn Feldman dan Bert Clements masing-masing memberikan 116-112 mata.

Pacquiao pula ditimpa kekalahan keenam dalam kariernya setelah mencatat 57 kemenangan dan dua kali seri.

Petinju berusia 36 tahun itu memaksa Mayweather berhempas pulas sebelum menang, apabila beberapa kali berjaya melepaskan tumbukan kencang tangan kiri ke muka pencabarnya.

ARTIKEL YANG SAMA