Mayweather, ‘Pacman’ mungkin bertemu lagi

Mayweather, ‘Pacman’ mungkin bertemu lagi

LOS ANGELES, 6 Mei (AFP) – Floyd Mayweather berkata dia bersedia untuk mengadakan pertarungan semula dengan Manny Pacquiao berikutan pendedahan petinju dari Filipina itu bahawa kecederaan bahu menjejaskan persembahannya dalam pertarungan gelaran dunia hujung minggu lalu, ESPN melaporkan semalam.

ESPN melaporkan Mayweather telah memaklumkan wartawan Stephen A.Smith dalam teks mesej dengan mengatakan beliau bersedia untuk menyarung sarung tangan sekali lagi selepas Pacquiao pulih daripada pembedahan ototnya.

“Saya akan bertarung bersamanya dalam tempoh setahun selepas pembedahannya,” kata Mayweather dalam teks mesej, menurut ESPN.

Kesediaan Mayweather untuk melangkah masuk ke dalam gelanggang bersama Pacquaio sekali lagi dilihat bercanggah dengan ulasan yang dibuatnya selepas kejayaannya di Las Vegas Sabtu lalu apabila menegaskan dia merancang untuk bersara selepas satu lagi pertarungan pada September.

“Pertarungan akhir saya adalah pada September dan pada masa itu tiba masanya saya untuk bersara,” kata Mayweather selepas kemenangan sebulat suaranya.

Petinju berusia 38 tahun itu yang akan mencatatkan satu sahaja lagi kemenangan untuk menyamai rekod Rocky Marciano 49-0, sebelum ini berkata dia tidak berhasrat untuk mengatasi kejayaan masa lalu petinju heavyweight yang dihormati itu.

Bagaimanapun, ketika pertarungan semula menentang Pacquiao diragui mampu menarik minat dan pendapatan seperti pertarungan pertama, sekurang-kurangnya ia dilihat cukup untuk memberikan pulangan kepada kedua-dua petinju itu.

Kem Pacquiao semalam mengeluarkan kenyataan mengesahkan bahawa petinju dari Filipina itu mengalami kecederaan otot serius di bahunya.

“Kami ada imbasan MRI yang mengesahkan dia mengalami kecederaan otot bahu. Dia mengalami kecederaan yang agak serius,” kata doktor Neal ElAttrache dari Klinik Ortopedik Kerlan Jobe.