Mayweather sedia bersara

Mayweather sedia bersara

WASHINGTON, 3 Sept (AFP) – Floyd Mayweather Jr merancang untuk bertarung tanpa kalah dan dengan syaratnya sendiri untuk menjadi yang ‘Terbaik Selamanya’ apabila menamatkan kerjaya tinju di Las Vegas minggu depan dengan mempertahankan gelaran welterweight menentang rakan senegara, Andre Berto.

Jika Mayweather menang, seperti yang dijangka, dia akan menyaingi rekod 49-0 bekas petinju heavyweight Rocky Marciano tetapi berkata dia tidak akan berusaha untuk keluar daripada persaraan untuk pertarungan ke-50.

“Empat puluh sembilan adalah pertarungan terakhir saya,” juara dunia lima divisyen berusia 38 tahun itu memberitahu wartawan pada sidang akhbar semalam sebelum berkata penjagaan diri di gelanggang selalu menjadi keutamaannya.

“Kesihatan saya penting. Segalanya boleh berlaku (dalam tinju). Saya tidak bimbang dengan kekalahan. Anda boleh menghasilkan banyak wang tetapi anda masih tidak dapat bercakap, berjalan dan memiliki minda tajam.

“Sudah tentu, ia selalu mengenai penjagaan diri. Saya datang terlebih dulu tetapi saya menghargai peminat. Satu–satunya perkara yang boleh saya lakukan adalah percaya dengan diri sendiri. Saya akan menjadi TBE (Terbaik Selamanya) sehingga ke akhirnya.”

Mayweather (tengah) menjawab pertanyaan wakil media semasa sesi latihannya di Las Vegas 26 Ogos lalu. – AFP
Mayweather (tengah) menjawab pertanyaan wakil media semasa sesi latihannya di Las Vegas 26 Ogos lalu. – AFP

Ramai pengulas meragui dakwaan Mayweather dia akan menamatkan kerjayanya selepas pertarungan 12 September ini, yang merujuk kepada keputusan kepulangan petinju AS itu daripada persaraan 21 bulan untuk menentang Juan Manuel Marquez dari Mexico pada September 2009.

“Seperti yang saya katakan dan Floyd telah mengatakannya beberapa kali, ini adalah pertarungan terakhirnya,” kata Leonard Ellerbe, CEO Promosi Mayweather semalam dalam sidang tersebut.

“Mengapa tidak boleh seorang lelaki keluar apabila dia memiliki kerjaya yang cemerlang, mencapai segala-galanya yang diperlukan untuk dilakukan? Dan dia melakukan dengan caranya.

Sebelum menentang Pacquaiao Mei lalu, Mayweather juga pernah mengumumkan niatnya untuk bersara.

Selepas ‘Pacman’ mengadu bertarung dengan kecederaan, beliau pada mulanya sudi untuk mengadakan pertarungan semula dengan ikon tinju Filipina itu, tetapi kemudian menarik semula keputusannya dan tetap dengan persaraan selepas pertarungan ke-49.

ARTIKEL YANG SAMA