MBA harap program biodiesel B20 dapat diperkenal pada 2017

MBA harap program biodiesel B20 dapat diperkenal pada 2017

CAMERON HIGHLANDS, 31 Mac (Bernama) – Dengan sokongan daripada agensi kerajaan dalam melaksanakan adunan lebih tinggi penggunaan biodiesel, Persatuan Biodiesel Malaysia (MBA) berharap program B20 seterusnya dalam sektor pengangkutan dapat diperkenalkan pada 2017.

Presidennya U.R Unnithan berkata langkah itu sejajar dengan komitmen Malaysia untuk meningkatkan penggunaan minyak sawit dalam biodiesel, yang akan memberi banyak manfaat kepada ekonomi dari segi jaminan tenaga dan sokongan harga kepada minyak sawit mentah (MSM).

Program B20 melibatkan pengadunan 20 peratus metil ester minyak sawit (PME) dengan 80 peratus diesel bahan api fosil.

“Pada tahun ini, kita akan menyaksikan pelaksanaan B10 (10 peratus PME, 90 peratus diesel) yang mana, penggunaan tinggi biodiesel sawit pada 1.2 juta tan setahun, dijangkakan dapat membantu mengurangkan stok minyak sawit sebanyak 600,000 tan metrik.

“Sebelum ini, kedua-dua program B5 (5 peratus PME, 95 peratus diesel) dan B7 (7 peratus PME, 93 peratus diesel) diperkenalkan masing-masing pada Jun 2011 dan November 2014, dilaksanakan dengan lancar di seluruh negara,” katanya.

Unnithan berkata demikian pada sidang media semasa ekspedisi dua hari ke Cameron Highlands menggunakan B10 dan adunan lain anjuran MBA.

ARTIKEL YANG SAMA