MBBF akan bantu Sazali Samad

MBBF akan bantu Sazali Samad

KUALA LUMPUR, 23 Dis (BH) – Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF) berjanji akan melakukan yang terbaik untuk membantu jaguh bina badan Malaysia, Sazali Samad.

Sazali, juara 10 kali Mr Universe, dikenakan penggantungan selama empat tahun selepas didapati gagal dalam ujian anti-doping yang dijalankan Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) pada 1 September lalu.

Setiausaha Kehormat MBBF, Kamaruzaman Kadir, berkata walaupun segelintir pihak mendakwa ikon bina badan itu menjadi mangsa sikap pilih kasih Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) apabila menarik balik elaun bulanannya sebanyak RM3,500, dia berpendapat kedua-dua badan induk berkenaan pasti ada alasan tersendiri.

“Mengenai dakwaan wujud sikap pilih kasih oleh KBS dan MSN terhadap Sazali, saya tidak boleh komen kerana pastinya mereka ada alasan tersendiri. Namun, MBBF tetap akan membantu Sazali sebaik mungkin.

“Dalam masa terdekat ini, kami akan menghantar surat rasmi berhubung hukuman yang dikenakan itu kepada Sazali dan kita tunggu reaksi Sazali selepas itu. Jika dia mengemukakan rayuan kami sedia mempertimbangkan.

“Namun, ini bukan bermaksud MBBF memberi jaminan kami boleh meringankan hukumannya tetapi kami akan lihat dari aspek apa yang kami boleh bantu Sazali. Untuk itu, kami juga akan meminta pandangan daripada ADAMAS, KBS, MSN dan pihak-pihak yang berkaitan,” kata Kamaruzaman ketika dihubungi, sebentar tadi.

BH Sukan, hari ini melaporkan Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail menafikan pihaknya dan KBS tidak memberi pembelaan sewajarnya kepada ikon bina badan, Sazali selepas sesetengah pihak membandingkan kesnya dengan jaguh badminton perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei.

ARTIKEL YANG SAMA