MBS United SC rampas kedudukan

MBS United SC rampas kedudukan

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Ogos – MBS United SC merampas kedudukan teratas Kumpulan D Futsal Piala Perdana TelBru 2015 daripada JW FT apabila menewaskan pasukan dari Temburong itu dengan jaringan 8-2.

Perlawanan di Dewan Serba Guna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu agak seimbang pada awalnya tetapi pantas berubah selepas Md Farid memecah kebuntuan pada minit ke-9 untuk MBS United SC mendahului 1-0.

Pada minit ke-13 saja, kedudukan sudah berubah menjadi 3-1 memihak MBS United selepas Md Farid meledak jaringan kedua peribadinya pada minit ke-12 sebelum ditambah oleh rakannya, Md Fithrahtul seminit kemudian, sementara gol tunggal babak pertama JW FT pada minit ke-13 dijaringkan oleh Md Nabil.

Md Solehin sempat menambah jaringan MBS United hanya seminit sebelum babak pertama berakhir untuk meletakkan pasukannya selesa di depan dengan jaringan 4-1 untuk dibawa ke separuh masa kedua.

Lima minit selepas rehat MBS United SC mendapat gol kelimanya menerusi jaringan kedua peribadi Md Fithrahtul dan kemudiannya gol keenamnya pada minit ke-31 menerusi hatrik Md Farid.

MBS Utd SC (merah jambu) menang 8-2 ke atas JW FT untuk mendahului Kumpulan D Futsal Piala Perdana TelBru 2015.
MBS Utd SC (merah jambu) menang 8-2 ke atas JW FT untuk mendahului Kumpulan D Futsal Piala Perdana TelBru 2015.

Pada kedudukan sudah selesa itu, Md Fathi mencatat namanya dalam senarai penjaring untuk membawa MBS United SC menerajui perlawanan dengan jaringan 7-1 pada minit ke-33.

Md Nabil mendapat gol kedua peribadi dan pasukannya pada minit ke-34 untuk mengurangkan defisit ketinggalannya pada kedudukan 2-7.

Namun dua minit kemudian Md Solehin mengembalikan pendahuluan enam gol MBS United SC yang ternyata menjadi gol terakhir perlawanan untuk memberikan MBS United SC tiga mata penuh.

Selepas semua pasukan dalam Kumpulan D masing-masing sudah melalui dua perlawanan, MBS United SC dengan 4 mata di tempat teratas disusuli JW FT dengan 3 mata (5 jaringan & 10 bolos), Azmainshah dengan 3 mata (4 jaringan & 3 bolos) dan Kota Ranger FT dengan 1 mata di tangga tercorot.