MBS United sertai BFL musim depan

MBS United sertai BFL musim depan

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Sept – MBS United SC menjadi pasukan keempat layak bermain dalam Liga Futsal Brunei (BFL) musim depan setelah menjuarai Kumpulan D Futsal Piala Perdana TelBru 2015 dengan tujuh mata.

MBS United memastikan dirinya terus layak ke peringkat suku akhir apabila menewaskan Azmainshah dengan jaringan 7-2 semasa perlawanan terakhir Kumpulan D, 4 September lalu.

Kemenangan MBS United itu turut menghadiahkan kemaraan Kota Ranger FT ke pusingan kedua selaku naib juara Kumpulan D, yang pada perlawanan awal malam itu mengalahkan JW FT 5-1 untuknya mengumpul empat mata dan sembilan jaringan.

Walaupun menang 5-1 ke atas JW FT, Kota Ranger masih belum menerima tiket masuk percuma ke pusingan kalah mati kerana perlu menunggu keputusan perlawanan antara Azmainshah dengan MBS United terlebih dulu.

Kemenangan buat Azmainshah akan menghantar Azmainshah terus ke suku akhir selaku juara kumpulan dengan enam mata dan MBS United ke pusingan kedua sebagai naib juara kumpulan dengan kelebihan jaringan kerana sudah mengumpul 12 jaringan setakat perlawanan keduanya, sedangkan Kota Ranger hanya sembilan jaringan daripada tiga perlawanan.

Mohd Fithrahtul (jersi 16) ketika meledakkan jaringan pertama MBS United pada minit ke-15 perlawanan.
Mohd Fithrahtul (jersi 16) ketika meledakkan jaringan pertama MBS United pada minit ke-15 perlawanan.

Azmainshah memberikan tentangan sengit pada separuh masa pertama sehingga tiga kali pemainnya berada dalam situasi 1-lawan-1 dengan penjaga gol MBS United tetapi gagal dimanfaatkan sebaiknya.

Kegagalan itu menghukum Azmain-shah, selepas terselamat daripada tiga situasi bahaya itu MBS United pula yang berjaya membolosi Azmainshah pada minit ke-15 dengan gol Mohd Fithrahtul untuk mendahului 1-0 sehingga babak pertama berakhir.

Cerita berbeza dilakar MBS United pada separuh masa kedua apabila permainan Azmainshah mula terbuka dalam usahanya mencari gol penyamaan dan akibatnya MBS United berjaya menambah dua jaringan hanya dalam tempoh tiga minit pertama.

Mohd Waie menghasilkan gol kedua MBS United pada minit ke-22, disusuli jaringan Mohd Farid seminit kemudian. Azmainshah akhirnya berjaya membolosi lawan pada minit ke-26 untuk kedudukan 1-3 hasil jaringan Mohd Noor Hafiz.

Lima minit terakhir perlawanan menyaksikan lima gol dihasilkan, hanya satu untuk Azmainshah yang hadir lewat pada minit ke-39 menerusi Noorfaizathull. Empat gol MBS United dicipta oleh Awangku Mohd Hidaytullah (minit 36), Mohd Solihen (minit 37), Mohd Munir (minit 39) dan Mohd Abdul Azeim (minit 39).

Pada perlawanan awal pula, Kota Ranger mendahului 2-0 pada babak pertama menerusi jaringan Mohd Raziman pada minit ke-3 dan Awangku Mohd Ameer pada minit ke-19.

Mohd Nathan menjaringkan gol tunggal JW FT pada minit ke-23, tetapi segera dibalas oleh Zulfitri untuk Kota Ranger FT terus di depan dengan 3-1. Dua lagi gol Kota Ranger hadir pada minit ke-33 dan ke-38, hasil jaringan Mohd Radhi.