MCA cadang tubuh pasukan khas perangi Abu Sayyaf di perairan Sabah

MCA cadang tubuh pasukan khas perangi Abu Sayyaf di perairan Sabah

KUALA LUMPUR, 12 Julai – MCA mencadangkan negara-negara anggota ASEAN supaya berganding bahu bagi menubuhkan sebuah pasukan petugas khas bagi memerangi jenayah culik oleh kumpulan militan Abu Sayyaf di perairan Sabah.

Anggota Jawatankuasa Pusat MCA Datuk Paul Kong Sing Chu menyarankan pasukan itu dianggotai negara-negara berkenaan terutamanya Indonesia, Filipina dan Malaysia, dan merangka pelan kecemasan untuk menghapuskan pangkalan kumpulan militan itu.

“Saya menyeru Malaysia dan ASEAN supaya bersama-sama menubuhkan sebuah pasukan petugas untuk menghapuskan anggota kumpulan militan Abu Sayyaf yang bersembunyi di selatan Filipina dan menyelesaikan sepenuhnya krisis keselamatan terbesar yang wujud di luar pesisir Sabah.

“Hanya dengan tindakan bersama, militan Abu Sayyaf dapat dihapuskan sepenuhnya bagi mengembalikan keselamatan dan keamanan di Sabah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini susulan kes penculikan terbaru melibatkan tiga nelayan Indonesia oleh sekumpulan lelaki berhampiran Lahad Datu minggu lepas.

Kong, yang juga pengerusi MCA Bahagian Penampang, berkata jenayah yang sering berulang itu mencemarkan nama baik Malaysia serta menjejaskan industri pelancongan Sabah dan merosakkan kredibiliti dan kecekapan pihak
penguatkuasaan.

Dalam pasa itu, beliau berkata kerajaan negara-negara ASEAN boleh belajar daripada rakan sejawatan mereka di peringkat antarabangsa dalam menangani lanun Somalia, termasuk usaha ‘Operation Ocean Shield’, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) bersama negara rakannya dan ‘Operation Atalanta’ Kesatuan Eropah (EU) bersama-sama rakannya, sehingga berjaya membendung serangan lanun Somalia. – Bernama