McArthur penyelamat kempen Scotland

McArthur penyelamat kempen Scotland

LONDON, 9 Okt – Tandukan minit ke-89 James McArthur menyelamatkan Scotland untuk terikat 1-1 dengan Lithuania dalam aksi Kumpulan F kelayakan Piala Dunia di Hampden Park, pagi tadi.

Harapan Scotland untuk mara seperti bakal menerima tamparan hebat apabila Fiodor Cernych meletakkan pelawat di depan sebelum memasuki setengah jam aksi tetapi McArthur memadamkannya.

Selepas mengharungi babak pertama yang hambar, Scotland mula meningkatkan tekanan ke atas gawang gol Lithuania dengan Robert Snodgrass dan Chris Martin hampir membuka tirai jaringan.

Tetapi Cernych terlebih dulu membuatkan peminat tuan rumah terdiam hasil gerakan menarik pada minit ke-58, selepas bermain satu-dua sebelum melencongkan bola mengatasi penjaga gol Scotland, David Marshall.

Vaitkunas dan McArthur ketika bersaing pada perlawanan kelayakan Piala Dunia antara Scotland dan Lithuania di Hampden Park, Glasgow, Scotland pada 8 Oktober 2016. – AP
Vaitkunas dan McArthur ketika bersaing pada perlawanan kelayakan Piala Dunia antara Scotland dan Lithuania di Hampden Park, Glasgow, Scotland pada 8 Oktober 2016. – AP

Cernych sepatutnya menggandakan kedudukan buat Lithuania tetapi percubaannya tersasar ke tepi gawang, sebaliknya pemain gantian McArthur menanduk masuk gol hasil umpanan Grant Hanley.

Lithuania berjaya mengharungi tekanan dalam lima minit terakhir, bermakna mereka kini bersama Scotland dan Slovenia terikat empat mata daripada dua aksi, dua di belakang peneraju Kumpulan F, England. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA