McCLaren harap penyokong bersabar

McCLaren harap penyokong bersabar

LONDON, 24 Sept (Reuters) – Dengan hanya dua mata sepanjang enam aksi Liga Perdana, pengurus Newcastle United yang semakin tertekan, Steve McClaren tampil merayu penyokong setia kelab supaya terus percaya terhadap keupayaan mereka mengubah keadaan dalam masa terdekat ini.

Newcastle antara tiga pasukan yang masih memburu kemenangan pertama peringkat liga musim ini dan bernasib baik apabila tidak menduduki tangga terbawah Liga Perdana.

Skuad Magpies itu bakal menentang juara bertahan, Chelsea dan Manchester City dalam aksi Liga Perdana selepas ini.

McClaren yang menyifatkan persembahan kelabnya setakat ini sebagai ‘malapetaka’ berkata, beliau faham dengan kekecewaan peminat tetapi meminta mereka bersabar.

“Penyokong harus percaya kami akan bangkit dan mengubah keadaan. Kami akan mula beraksi cemerlang dan memenangi perlawanan. Kami akan melakukannya,” kata McClaren.

Reaksi Steve McClaren semasa pasukannya menentang Sheffield Wednesday pada pusingan ketiga Piala Liga di St James’ Park, semalam. – Reuters
Reaksi Steve McClaren semasa pasukannya menentang Sheffield Wednesday pada pusingan ketiga Piala Liga di St James’ Park, semalam. – Reuters

“Sebagai penyokong dan melihat apa yang berlaku musim lalu selain jangkaan diletakkan ke atas pasukan, sudah tentu mereka kecewa tapi saya meminta supaya mereka terus bersabar. Itu saja.

“Tidak perlu memberitahu kami apa yang sedang berlaku. Kami sedar keadaan ketika ini. Kami tahu apa yang perlu dilakukan. Kami tahu apa penyelesaiannya. Kami hanya perlu bermain bermati-matian,” katanya.

Penyokong Newcastle berharap mereka dapat mengelak catatan musim lalu daripada berulang apabila mereka gagal menang sepanjang lapan aksi awal dan hanya menang ke atas West Ham pada hari terakhir bagi memastikan Magpies terus beraksi di Liga Perdana.

Kelab itu sudah membelanjakan banyak wang bagi mendapatkan lima pemain baru, empat daripadanya beraksi di bahagian depan tetapi hingga kini, jaringan yang dicari masih belum menjelma.

ARTIKEL YANG SAMA