McClaren jurulatih baru Newcastle

McClaren jurulatih baru Newcastle

LONDON, 11 Jun (AFP) – Bekas pengurus skuad kebangsaan England, Steve McClaren dilantik Ketua Jurulatih Newcastle United dengan kontrak selama tiga tahun, umum kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, hari ini.

McLaren, 54 menggantikan John Carver yang mengumumkan peletakan jawatannya, semalam dengan klausa kontrak yang dikatakan boleh dilanjutkan sehingga lapan tahun, kata kelab itu.

“Saya amat berbesar hati untuk dilantik menjadi Ketua Jurulatih Newcastle United. Ini adalah kelab yang besar dan mempunyai sejarah yang hebat,” kata McLaren dalam kenyataan dalam laman web kelab itu.

“St James Park adalah simbol kepada bandar ini dan saya amat teruja diberikan peluang ini.”

McLaren sebelum ini dilaporkan menolak permintaan Newcastle selepas bekas pengendali kelab itu, Alan Pardew berpindah ke Crystal Palace pada Januari.

Tindakan ini menyaksikan Carver dinaikkan pangkatnya daripada pembantu pengurus kepada pengurus sementara.

Begitupun, tiga kemenangan daripada 19 perlawanan EPL menyaksikan harapan Carver untuk mengekalkan jawatannya secara kekal musnah. McLaren pula baharu saja dipecat selaku pengurus kelab Derby County, bulan lalu.

“Steve mempunyai tugas untuk memastikan Newcastle berada di kedudukan lapan teratas Liga Perdana dan dia juga amat diharapkan untuk cuba memenangi kejohanan Piala,” kata Pengarah Urusan Newcastle, Lee Charnley.

“Kami sedar dengan keinginan kuat peminat-peminat kami yang mahu memenangi trofi, impian yang kelab ini kongsi bersama Mike Ashley (pemilik) yang menyatakan dengan jelas apa yang dimahukan pada hari terakhir musim ini.

“Steve teruja dengan perkara ini dan dia mempunyai sokongan penuh kami untuk mencapai sasaran itu,” katanya. Newcastle berjaya mengelak daripada penyingkiran EPL pada hari terakhir liga.