McIlroy cukup cergas

McIlroy cukup cergas

AKRON, AS, 11 Ogos – Pemain nombor satu dunia Rory McIlroy mengesahkan dia cergas untuk mempertahankan kejuaraan pada Kejohanan PGA AS di Whistling Straits hujung minggu ini apabila dia memberitahu saluran Golf Channel bahawa pemulihan di buku lali kirinya bukan lagi satu isu.

Pemain Ireland Utara itu, yang tidak beraksi sejak mengalami kecederaan ligamen buku lali ketika bermain bola sepak bersama rakan pada 4 Julai lalu, bercakap selepas berlatih 18 lubang buat hari kedua berturut-turut di gelanggang kejohanan di Kohler, Wisconsin.

Selepas berlatih sepusingan kelmarin, yang mana dia kelihatan kurang selesa turun naik bukit beralun di lapangan itu, McIlroy memberitahu Milwaukee Journal Sentinel, buku lalinya sudah bagus sebelum dia menuju ke tempat letak kereta.

“Sudah tentu, berlatih di lapangan golf seperti ini, bermain 18 lubang, saya berasa bagus,” kata pemenang empat kejuaraan utama itu. “Saya banyak meningkat dalam tempoh lima minggu. Ini genap lima minggu sejak kecederaan ini berlaku.”

Rory McIlroy memukul bola semasa sesi latihan sebelum kejohanan PGA AS di Whistling Straits hujung minggu ini. – AFP
Rory McIlroy memukul bola semasa sesi latihan sebelum kejohanan PGA AS di Whistling Straits hujung minggu ini. – AFP

McIlroy, 26, tidak perlu memaklumkan kepada penganjur Kejohanan PGA mengenai kedudukannya hinggalah sebelum memulakan aksi pada pusingan pertama, Khamis ini.

Dia diundi sekumpulan dengan juara Masters dan Terbuka AS, Jordan Spieth dan pemenang Terbuka British, Zach Johnson bagi dua pusingan pertama PGA, kejuaraan utama terakhir tahun ini.

Sekiranya McIlroy turun beraksi seperti dijangka Khamis ini, ia 40 hari sejak dia mengalami kecederaan yang mana sesetengah pakar perubatan menyatakan ia mengambil masa tiga bulan sebelum sembuh sepenuhnya.

Masa berlalu sudah lebih tujuh minggu sejak McIlroy berkongsi kedudukan kesembilan pada Terbuka AS di Chambers Bay pada penampilan kompetitif terakhirnya. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA