McIlroy sudah bersedia

McIlroy sudah bersedia

KOHLER, AS, 13 Ogos – Pemain golf nombor satu dunia, Rory McIlroy menjangkakan dia mampu bermain dengan baik di kejohanan Major golf Kejuaraan PGA yang bermula hari ini sekalipun terpaksa berehat selama 40 hari akibat kecederaan buku lali.

McIlroy yang juga juara bertahan tidak beraksi sejak menamatkan saingan di Terbuka AS pada Jun lalu di tempat kesembilan mengumumkan dia sudah bersedia selepas menjalani ujian kecergasan selama empat hari di Portugal, minggu lalu.

“Tahap jangkaan adalah sama,” kata McIlroy ketika sidang media di Whistling Straits, sehari sebelum kejohanan Major golf terakhir tahun ini itu membuka tirainya.

“Saya menjalani beberapa pusingan permainan. Saya sudah berlatih sejak tiga minggu bagi memastikan permainan saya sudah bersedia, menjadikan permainan saya lebih tajam. Saya merasakan saya bermain dengan baik.

“Saya menjangkakan untuk bermain dengan baik. Saya tidak melihat sebarang alasan mengapa saya tidak dapat meneruskan prestasi yang saya tunjukkan ketika sesi latihan di lapangan ke pukulan tee pada petang ini,” katanya.

McIlroy menjuarai Kejuaraan PGA dengan kelebihan satu pusingan, tahun lalu tidak beraksi di mana-mana kejohanan selepas ligamen pergelangan kakinya retak ketika bermain bola bersama rakan-rakannya.

“Saya fikir ia sudah patah kerana sejurus saya mengalaminya, saya seperti mendengar bunyi patah,” kata pemain berusia 26 tahun itu. Untuk rekod, McIlroy adalah pemenang empat gelaran Major termasuk dua gelaran di Kejuaraan PGA. – Reuters