McIlroy tekad bangkit

McIlroy tekad bangkit

ATLANTA, 25 Sept (AFP) – Rory McIlroy bertekad untuk memperbaiki nasibnya dengan beraksi cemerlang dalam Kejohanan Jelajah USPGA di Atlanta hujung minggu ini selepas gagal beraksi baik sepanjang tahun ini.

Bekas pemain No.1 dunia itu berdepan situasi sukar sepanjang tahun ini, termasuk cedera buku lali, yang membuatkan dia terpaksa menarik diri daripada Terbuka Britain sekali gus gagal menambah koleksi kejuaraan.

Pemain berusia 26 tahun dari Ireland Utara itu berkata, 2015 banyak memberikannya pengajaran berguna.

“Musim seperti ini bukan sesuatu yang dimahukan. Mengakhiri persaingan tanpa sebarang kejuaraan, terlepas aksi terbesar iaitu Terbuka Britain di St. Andrews, saya terpaksa melupakan kejohanan itu.

“Ada beberapa saat mengecewakan dan ada juga yang menggembirakan tetapi 2015 bukan tahun yang saya mahu ingati apabila saya mengakhiri karier,” katanya.

McIlroy ketika membuat pukulan tee pada lubang kelapan pusingan pertama Kejohanan Jelajah USPGA di Atlanta, Georgia pada 24 September 2015. – AFP
McIlroy ketika membuat pukulan tee pada lubang kelapan pusingan pertama Kejohanan Jelajah USPGA di Atlanta, Georgia pada 24 September 2015. – AFP

Ditanya apa perkara yang dipelajarinya tahun ini, McIlroy secara berseloroh berkata: “Jangan main bola sepak pada pertengahan musim!”

Akibat bermain bola sepak dia mengalami kecederaan dan terlepas Terbuka Britain. McIlroy ditewaskan banyak kali oleh Jordan Spieth dan Jason Day selaku pemain No.1 dunia.

Dia percaya prestasi semasa Day adalah sangat memberangsangkan dan layak menjadi No.1 dan Spieth akan menjadi pemain terbaik 2015 selepas kejayaannya memenangi Masters dan Terbuka Amerika Syarikat.

“Dua gelaran utama sudah cukup memberikan jawapan. Apabila tiba masa untuk mengundi hujung tahun ini, saya sudah tahu akan mengundi siapa.

“Bukan tidak menghormati Jason, dia hebat dan adalah pemain terbaik untuk tempoh tiga bulan tetapi saya rasa, awak perlu menang kejuaraan utama dan Jordan merupakan pemain terbaik untuk kesemua kejohanan itu,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA