MDSU ONE, TLDB adakan operasi menyelam di Teluk Brunei

MDSU ONE, TLDB adakan operasi menyelam di Teluk Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Nov – Penyelam-penyelam daripada Mobile Diving and Salvage Unit (MDSU) ONE telah bergabung dengan anggota Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) bagi operasi-operasi menyelam di atas bekas USS Salute, kapal penyapu periuk api era Perang Dunia Kedua yang ditenggelamkan oleh periuk api Jepun semasa persediaan bagi pendaratan amfibia dalam Perang Borneo.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, operasi-operasi menyelam yang bermula semalam hingga esok itu, merupakan yang pertama oleh Tentera Laut Amerika Syarikat (USN) di atas bangkai USS Salute, yang terletak pada kedalaman kira-kira 90 kaki di Teluk Brunei.

Operasi-operasi dimulakan dengan para penyelam menaiki USNS Salvor (T-ARS-52) yang berada di Brunei bagi Eksesais Kerjasama Latihan dan Kesediaan Apungan (CARAT) 2016.

Penyelaman ke kapal penyapu periuk api Perang Dunia Kedua itu telah didahului dengan majlis peringatan di Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di ibu negara pada 14 November lalu, di mana Duta Besar AS, Craig Boyd Allen dan Komander Task Force 73, Laksamana Muda Don Gabrielson telah mengiktiraf perjuangan dan pengorbanan anak-anak kapal USS Salute yang terkorban.

Penyelam-penyelam MDSU ONE dan TLDB ketika melakukan operasi menyelam di atas USS Salute di Teluk Brunei.
Penyelam-penyelam MDSU ONE dan TLDB ketika melakukan operasi menyelam di atas USS Salute di Teluk Brunei.

“Kami mempunyai peluang unik semasa CARAT untuk memberi penghormatan kepada anak-anak kapal USS Salute yang memberikan perjuangan terakhir untuk negara kira,” kata Laksamana Muda Don Gabrielson.

“Majlis peringatan dan operasi-operasi menyelam kita di atas USS Salute menghormati tapak bersejarah yang penting dan memberi penghormatan selayaknya kepada legasi rakyat Amerika yang berani, yang tidak akan pernah dilupakan,” tambahnya lagi.

Pada majlis itu, seorang pegawai di atas USS Salute yang terselamat dalam letupan berkenaan, Leftenan James J. Hughes telah menceritakan jam-jam terakhir sebelum kapal berkenaan tenggelam. Bagi penyelam-penyelam tentera laut yang telah mengunjungi bangkai USS Salute, ia merupakan peluang untuk memberi penghormatan kepada kubur perang takzim di mana anggota tentera AS terkorban.

ARTIKEL YANG SAMA