Medan terbaik penyatuan hati rakyat Malaysia

Medan terbaik penyatuan hati rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR, 29 Ogos – Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mengajak rakyat negara ini bersama meraikan Hari Kebangsaan dengan semangat kekitaan tanpa mengira perbezaan bangsa dan agama.

Beliau berkata ianya bertepatan dengan tema sambutan iaitu ‘Sehati Sejiwa’ yang menggambarkan penyatuan rakyat negara ini tanpa sebarang perbezaan fahaman politik dan ideologi.

“Ini adalah suatu hari yang harus kita jadikan sebagai hari penyatuan hati sesama kita di mana hari kita mencapai kemerdekaan. Kita juga perlu bersyukur negara kita aman damai.

“Kita harus terus ke hadapan untuk memastikan negara ini lebih gemilang,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan raptai penuh Hari Kebangsaan 2016 di Dataran Merdeka di sini, hari ini.

Hari Kebangsaan 2016 disambut pada 31 Ogos ini di seluruh negara dan sambutan peringkat kebangsaan diadakan di Dataran Merdeka dengan tema tahun ini ‘Sehati Sejiwa’.

Datuk Seri Salleh Said Keruak mengibarkan Jalur Gemilang ketika perarakan perbarisan raptai penuh sambutan Hari Kebangsaan yang bertemakan #sehatisejiwa di Dataran Merdeka kelmarin. – Bernama
Datuk Seri Salleh Said Keruak mengibarkan Jalur Gemilang ketika perarakan perbarisan raptai penuh sambutan Hari Kebangsaan yang bertemakan #sehatisejiwa di Dataran Merdeka kelmarin. – Bernama

Tema tersebut dikekalkan untuk 2016 kerana perlunya memupuk semangat bersatu padu yang telah lama menjadi amalan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Hampir 15,000 peserta daripada agensi kerajaan, swasta, anggota pasukan keselamatan serta pelajar sekolah menyertai acara persembahan dan perarakan sempena Hari Kebangsaan.

Mengulas mengenai persembahan peserta pada raptai penuh itu, Salleh berkata secara keseluruhan beliau berpuas hati dan berharap peserta dapat mengekalkan momentum persembahan masing-masing dalam semangat sepasukan.

“Semangat seumpama itu dapat diterjemahkan kepada persembahan yang cukup hebat untuk rakyat negara ini,” kata Salleh.

Dalam pada itu, beliau mengajak semua rakyat negara ini untuk tidak melepaskan peluang hadir di Dataran Merdeka pada Rabu ini bagi menyaksikan acara tahunan yang penuh gemilang.

“Datanglah dengan memakai pakaian berwarna-warni bertemakan Jalur Gemilang. Tunjukkan semangat patriotik masing-masing. Ini adalah kunci segala-galanya,” katanya. – Bernama