Media peranan utama mualaf peluk Islam

Media peranan utama mualaf peluk Islam

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Nov – Peranan media di Negara Brunei Darussalam menjadi begitu signifikan dalam tempoh satu atau dua tahun sebelum seseorang itu memeluk agama Islam, manakala itu, bagi Sabah dan Sarawak pula, media memainkan peranan penting seawal zaman kanak-kanak seseorang itu.

Ini merupakan hasil dapatan daripada kajian mengenai ‘Traditional vs Social Media in conversions to Islam in Sawarak, Sabah and Brunei Darussalam’ yang dijalankan oleh seorang pembentang dari Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dayang Salinayanti binti Salim, yang dikongsikannya semasa membentangkan kertas kerjanya dalam Forum Brunei-Malaysia yang berlangsung di Bilik Senat, Tingkat 1, Dewan Canselor, UBD, petang tadi.

Menurut beliau, kertas kerjanya ini menunjukkan peranan penting media dalam kehidupan pemeluk agama Islam yang tinggal di Sabah, Sarawak dan Brunei.

Jelas beliau, kajian yang telah dilakukan mendapati bahawa peranan media begitu besar dan penting bagi para mualaf Islam di Sabah dan Sarawak jika dibandingkan di Brunei, namun mereka masih berkongsi kepentingan penggunaan multimedia untuk mendapatkan dakwah.

Dayang Salinayanti ketika mengongsikan hasil kajiannya pada forum tersebut.
Dayang Salinayanti ketika mengongsikan hasil kajiannya pada forum tersebut.
Antara yang hadir ke forum tersebut.
Antara yang hadir ke forum tersebut.

Beliau menjelaskan lagi bahawa para pemeluk Islam di Brunei dan Sarawak, lebih gemar menggunakan media tradisional seperti televisyen dan radio untuk mendapatkan maklumat.

Ini, jelasnya, adalah kerana media tradisional memberikan maklumat yang lebih dipercayai dan terperinci, dan boleh dikongsi bersama-sama keluarga, rakan-rakan dan juga orang ramai.

Manakala itu, di Sabah pula, para mualaf lebih gemar menggunakan media sosial seperti Facebook dan Youtube kerana maklumat boleh didapati dengan lebih cepat dan senang serta begitu interaktif.

ARTIKEL YANG SAMA