Media perlu hormati undang-undang

Media perlu hormati undang-undang

KUCHING, 13 Mac (Bernama) – Polis menahan dua rakyat Australia di Masjid Darul Ehsan, Kampung Haji Baki di sini malam tadi, kerana cuba mendekati Datuk Seri Najib Tun Razak secara agresif ketika Perdana Menteri menghadiri majlis bersama rakyat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Dev Kumar berkata dua rakyat Australia berusia 51 dan 39 tahun itu, mendakwa bertugas sebagai wartawan dengan Australian Broadcasting Corporation berpangkalan di Sydney.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata kejadian berlaku kira-kira 8.35 malam.

“Mereka melintasi garisan keselamatan dan secara agresif cuba mendekati Perdana Menteri.

“Mereka ditahan kerana tidak mematuhi arahan polis supaya tidak melepasi garisan keselamatan,” katanya.

KUCHING, 13 Mac -- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merangkap Menteri Dalam Negeri, mempengerusikan mesyuarat Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) hari ini.   Turut hadir Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar (kiri). -- fotoBERNAMA (2016) HAK CIPTA TERPELIHARA
KUCHING, 13 Mac — Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merangkap Menteri Dalam Negeri, mempengerusikan mesyuarat Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) hari ini.
Turut hadir Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar (kiri).
— fotoBERNAMA (2016) HAK CIPTA TERPELIHARA

Menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (gambar), kerajaan tidak menghalang media tempatan ataupun asing melaksanakan tugas namun mereka perlu mematuhi etika kewartawanan dan juga undang-undang negara ini.

“Saya bagi pihak kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri tidak menghalang mana-mana wartawan dalam negara atau luar negara membuat liputan terhadap sebarang peristiwa ataupun mewawancara mana-mana tokoh.

“Tetapi, oleh kerana kerjaya kewartawanan mempunyai etika…pada hemat saya, etika-etika kewartawanan apatah lagi ia dilakukan oleh warga asing, maka kita melihat ada suatu ketika di mana orang kenamaan utama (VVIP) harus diberikan langkah-langkah keselamatan,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata pihak keselamatan meletakkan keutamaan dalam menjaga keselamatan VVIP dan perkara itu tidak harus dilihat sebagai halangan kepada kebebasan media.

“Tindakan (jaga keselamatan) itu untuk menentukan tataetika kewartawanan diikuti…tataetika di Malaysia harus dijaga, diikuti dan soal keselamatan harus diberi keutamaan oleh pihak berkuasa, dan mana-mana wartawan harus hormati keputusan dari segi menjaga keselamatan.

“Saya fikir kalau wartawan Malaysia berada di luar negara, tentu kita harus mematuhi tataetika kewartawanan dan juga faktor-faktor keselamatan di negara-negara berkenaan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata penahanan dua warga Australia itu tidak boleh dianggap sebagai halangan kepada wartawan asing untuk membuat liputan di negara ini.

“Saya fikir, mereka telah melakukan yang terbaik untuk media mereka. Tetapi pada masa yang sama, mereka harus menghormati aspek-aspek keselamatan yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa di negara ini,” katanya.