Media ROK dalami budaya Brunei

Media ROK dalami budaya Brunei

Oleh Salawati Haji Yahya & Pg Fairol RMF

Gambar oleh Salawati Haji Yahya & Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Sept – Rombongan sembilan orang wartawan dari Republik Korea (ROK) termasuk Setiausaha Ketiga di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri ROK kini berada di Brunei Darussalam bagi mengikuti Program Pertukaran Lawatan Media ROK ke ASEAN.

Rombongan berkenaan, yang berada di negara ini selama empat hari bermula kelmarin hingga 9 September, memulakan lawatan hari ini dengan kunjungan hormat kepada Pemangku Pengarah Penerangan, Hajah Noorashidah binti Haji Aliomar di Bangunan Tambahan Jabatan berkenaan.

Sejurus setelah mengadakan kunjungan hormat, rombongan juga berpeluang mendengar taklimat mengenai Negara Brunei Darussalam yang disampaikan oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat II, Awang Abdul Karim bin Hamdan yang diadakan di ruang lain bangunan berkenaan.

Sementara itu, pada sebelah malam, rombongan telah diraikan dalam majlis makan malam di Mangrove Paradise Resort, yang dihoskan oleh Setiausaha Tetap (Media dan Kabinet) di Jabatan Perdana Menteri, Haji Mohd Rozan bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos selaku Pengerusi Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan yang Bertanggungjawab bagi Maklumat (SOMRI).

Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Perindustrian dan Sumber-sumber Utama (KPSSU), Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid.

Tetamu kehormat menyampaikan cenderahati kepada salah seorang peserta.
Tetamu kehormat menyampaikan cenderahati kepada salah seorang peserta.
Para jemputan yang hadir ke majlis itu.
Para jemputan yang hadir ke majlis itu.
Pemangku Pengarah Penerangan menerima kunjungan hormat daripada rombongan ROK semasa sesi pagi kelmarin.
Pemangku Pengarah Penerangan menerima kunjungan hormat daripada rombongan ROK semasa sesi pagi kelmarin.

Semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya di majlis itu, Haji Mohd Rozan berkata program pertukaran berkenaan bertujuan untuk membolehkan media dari ROK untuk mempelajari tentang kepelbagaian di Negara Brunei Darussalam khususnya dari segi kebudayaan, sosioekonomi dan kehidupan rakyat Brunei di samping meningkatkan kefahaman mereka mengenai Falsafah Melayu Islam Beraja serta potensi kerjasama dua hala di masa akan datang.

Ia juga dihasratkan akan mendorong penglibatan lebih aktif dalam kerjasama sosioekonomi di antara kedua-dua buah negara dan meningkatkan semangat persahabatan di antara ASEAN dan ROK yang setentunya akan menggalakkan lebih banyak peluang kerjasama dalam pelbagai bidang.

Pada majlis itu, Haji Mohd Rozan turut menyampaikan cenderamata kepada para ahli rombongan dari ROK berkenaan.

Program pertukaran lawatan berkenaan merupakan salah satu projek di bawah ASEAN-COCI dengan tema tahun ini ‘Mempertingkatkan Komuniti ASEAN-ROK melalui Kebudayaan’.

Sepanjang berada di negara ini, rombongan juga akan mengadakan lawatan ke agensi-agensi kerajaan lain seperti Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, KPSSU Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Jabatan Radio Televisyen Brunei (RTB) serta agensi swasta.

ARTIKEL YANG SAMA