Media sosial punca cerai

Media sosial punca cerai

SINGAPURA, 12 Feb – Mesej ‘biasa biasa’ yang dikirim menerusi wadah media sosial oleh individu yang sudah berumah tangga kepada kenalan lama boleh menyemarakkan bibit kemesraan yang akhirnya berakhir dengan perceraian.

Itulah antara trend yang menyebabkan keruntuhan rumah tangga di kalangan pasangan Muslim akhir-akhir ini, menurut karyawan yang menangani isu keluarga.

Karyawan tersebut memberitahu Berita Harian, trend sedemikian lebih meruncing bagi pasangan yang mendirikan mahligai kurang 10 tahun.

Sekitar separuh perceraian di Singapura pada 2014, termasuk kes perceraian Muslim, melibatkan pasangan yang berumah tangga kurang 10 tahun.

Perangkaan Perkahwinan dan Perceraian 2014 yang dikeluarkan tahun lalu menyebut empat sebab utama perceraian Muslim di Singapura – kecurangan, masalah kewangan, ditinggalkan pasangan, dan penderaan.

Namun, Ketua Pegawai Eksekutif SuChi Success, Mohamed Khair Mohamed Noor, yang menganjurkan kursus rumah tangga, berkata daripada pemerhatiannya, media sosial dan hubungan mentua kian mencetuskan masalah dalam hubungan suami isteri Melayu/Islam.

“Sering kali kecurangan berlaku apabila salah seorang atau kedua-duanya tidak tahu atau tidak bijak dalam menjaga batasan pergaulan dengan pihak lain, misalnya dengan rakan sekerja yang ditemui di alam nyata atau kawan lama yang ditemui di alam siber,” ujar beliau.

Kaunselor di Hab Perkahwinan Angkatan Karyawan Islam (AMP), Yassemin Md Said, berkata jangkaan tidak realistik, kesukaran menyesuaikan diri dan tekanan kehidupan harian antara faktor yang boleh menjejas rumah tangga.

“Faktor lain ialah perbezaan personaliti, berkahwin bagi tujuan salah, kehilangan identiti individu, serta isu berkaitan intimasi atau penggunaan media sosial,” ujarnya. – BHS