Media sosial tingkat pemasaran produk PKS

Media sosial tingkat pemasaran produk PKS

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Julai – Semakin ramai peniaga dan pengusaha kecil-kecilan tempatan menggunakan media sosial sebagai pelantar bagi memperkenalkan serta juga memasarkan produk-produk yang dihasilkan seperti kuih-muih, biskut dan makanan serta minuman.

Kaedah penggunaan media sosial bagi memasarkan produk dan perkhidmatan adalah cara yang mudah serta cepat bagi mereka untuk memperkenalkan produk tetapi media sosial tidak direka khusus bagi memasarkan dan menjual produk atau perkhidmatan tetapi ia merupakan pelantar untuk menghubungkan rakan-rakan.

Oleh itu, perlu ada satu pelantar khusus seperti laman sesawang pusat membeli-belah alam maya (Virtual Mall) bagi mengumpulkan pengusaha atau penjual kepada pelanggan-pelanggan mereka di sebuah satu laman sesawang yang khusus.

Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Pegawai Operasi Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Dr Gyorgy Ladics dalam temu bual bersama Media Permata di Ibu Pejabat BIBD, Bandar Seri Begawan, baru-baru ini.

Dr Ladics berkata usaha BIBD menerokai produk dan teknologi inovatif dalam bidang perbankan adalah untuk membangunkan sistem perbankan yang memberikan kemudahan kepada pelanggan BIBD dan juga membantu pengusaha kecil dan sederhana tempatan.
Dr Ladics berkata usaha BIBD menerokai produk dan teknologi inovatif dalam bidang perbankan adalah untuk membangunkan sistem perbankan yang memberikan kemudahan kepada pelanggan BIBD dan juga membantu pengusaha kecil dan sederhana tempatan.

Oleh itu, jelasnya, adalah lebih baik bagi pengusaha atau peniaga itu untuk memasarkan produk mereka melalui pelantar e-dagang di mana mereka boleh memuatkan naik produk dan perkhidmatan mereka di laman sesawang khusus.

Melalui laman sesawang itu, pelanggan untuk membuat pendaftaran dan membuat tempahan bagi produk atau perkhidmatan mereka serta membuat pembayaran terus secara dalam talian.

Dalam hubungan itu, usaha BIBD ke arah menerokai teknologi terkini dan inovasi adalah untuk membina sistem yang mampu memberikan kemudahan kepada pelanggan serta membantu pengusaha dan peniaga kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

“Di situlah kita dapat menyaksikan manfaat sepenuhnya perkembangan ICT dapat membantu PKS Brunei dan juga pengusaha kecil tempatan. Kami terus cenderung untuk membantu peniaga dan pengusaha kecil tempatan.”

Ulasnya lagi, media sosial merupakan langkah pertama yang baik untuk memperlihatkan produk mereka tetapi untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka, mereka perlu untuk memikirkan cara bagi maju ke peringkat yang lebih tinggi.

Beliau menjelaskan bahawa, pihak bank boleh membantu dalam memberikan perkhidmatan perbankan seperti pembayaran dalam talian (online) dan terdapat peluang bagi pengusaha tempatan untuk menerokai perkhidmatan penghantaran atau logistik bagi menghantar produk-produk yang ditempah kepada para pelanggan.

Melalui pendekatan e-dagang, ia memberikan peluang kepada peniaga atau pengusaha kecil untuk berkembang dan BIBD menyatakan harapan untuk bekerjasama dengan syarikat tempatan yang mampu untuk membangunkan sebuah laman sesawang khusus sebagai virtual mall bagi peniaga dan pengusaha kecil tempatan untuk memasarkan dan memperkenalkan produk mereka serta membolehkan pelanggan membuat pembelian dan pembayaran secara dalam talian.

Menyentuh mengenai salah satu produk yang ditawarkan oleh BIBD yang dapat membantu pembayaran secara virtual atau maya ialah Mastercard Maya (Virtual Mastercard, VMC), yang merupakan kad maya pra bayar di mana pelanggan BIBD boleh memuatkan jumlah yang mereka kehendaki ke dalam kad berkenaan dan membuat pembayaran atau pembelian secara dalam talian bagi kedai e-dagang atau secara elektronik.

Melalui penggunaan VMC, pelanggan BIBD juga dapat membuat pembayaran bagi produk atau perkhidmatan mereka dengan menggunakan nombor telefon kepada pelanggan BIBD yang lain yang mempunyai VMC mereka sendiri.

Menurut Dr Ladics, kaedah itu merupakan salah satu cara di mana inovasi dalam produk perbankan yang disediakan oleh BIBD dapat dimanfaatkan bukan sahaja kepada pelanggan BIBD tetapi membantu peniaga dan pengusaha kecil melalui penyediaan kaedah pembayaran yang mudah dan cepat serta selamat.

ARTIKEL YANG SAMA