Medium lembap kekalkan kesuburan Aechmea fasciata

SPESIES Aechmea fasciata daripada kumpulan Bromiliad ini merupakan pokok eksotik bukan tempatan.

Ia dikatakan berasal dari negara-negara di Amerika Selatan seperti Brazil dan Argentina.

Tergolong dalam keluarga tumbuhan Bromiliaceae, ia merupakan sejenis pokok Epiphyte iaitu tumbuh menumpang atas pokok lain tetapi mendapat nutrien daripada air hujan dan reputan pada bahagian pokok lain.

Tumbuhan ini juga dikenali sebagai tanaman hiasan dan Silver vase plant yang bermaksud pokok pasu perak kerana daun yang berwarna kelabu keperakan berbelang hijau itu tersusun seperti pasu bunga.

Selain itu, ia juga digelar sebagai Tank bromiliad atau Bromiliad tangki kerana pasunya itu boleh bertindak sebagai tangki yang mampu memerangkap dan menakung air hujan serta nutrien untuk pemakanan.

Aechmea fasciata memiliki bunga berwarna ungu yang dikelilingi oleh brakta atau pengasuh bunga yang berwarna merah muda.
Pokok Aechmea fasciata sesuai ditanam dalam pasu yang agak besar untuk pameran yang lebih menarik.

Pokok yang telah dewasa akan mengeluarkan setangkai bunga majmuk yang tumbuh dari tengah pasu tadi.

Bunga berwarna ungu yang dikelilingi oleh brakta atau pengasuh bunga yang berwarna merah muda.

Bunga-bunga kecil ini tumbuh di sekeliling tangkai untuk membentuk gugusan bunga yang boleh bertahan selama melebihi sebulan. Ia senang ditanam tetapi memerlukan sedikit penjagaan dan perhatian khusus.

Pembiakan

Pokok ini senang untuk dibiakkan dengan menggunakan kaedah belahan rumpun dan keratan anak sulur atau offset yang tumbuh dari sisi batang pokok induk yang telah dewasa.

Mulakan kaedah penanaman dengan memotong anak sulur yang telah mencapai kebesaran sekurang-kurangnya 1/3 daripada saiz pokok induk. Sebaiknya terdapat akar-akar yang masih terlekat pada batang.

Semai pokok dalam medium bersaliran baik seperti pasir sungai. Kekalkan kelembapan medium semaian agar ia cepat berakar. Apabila berakar, pindah dan tanam dalam medium tanaman kekal.

Pokok ini sesuai tumbuh dalam medium tanaman yang air siramannya senang mengalir keluar dalam nisbah 3:2:3 merangkumi tanah peroi, bahan organik dan pasir sungai. Sebagai pilihan, anda boleh menggunakan campuran arang, serbuk kayu dan lumut Sphagnum moss yang seakan-akan campuran medium tanaman aslinya.

Penjagaan

Dedahkan pokok tersebut kepada cahaya yang banyak tetapi sedikit terlindung. Elak daripada dedahan kepada cahaya terik agar daunnya tidak melecur.

Siram pokok ini dan biarkan medium tanamannya kering sebelum menyiram semula.

Gunakan baja organik iaitu najis ayam atau kelawar yang telah diproses. Baja kimia jenis cecair juga boleh digunakan. Namun, berhati-hati ketika menggunakan baja bijian kerana ia boleh melecurkan bahagian pokok yang terkena.

Idea pameran

Ia senang untuk dipamerkan dalam pelbagai cara seperti ditanam di atas tanah atau di dalam pasu yang agak besar untuk pameran yang lebih menarik.

Pokok ini mempunyai duri pada bahagian tepi daun seperti daun nanas. Elakkan ditanam di ruang yang menjadi lalu-lalang bagi mengelakkan kemalangan.

Pada hari terlalu panas, sembur daun dengan air bagi mengelakkan daun itu menjadi kekuningan dan seterusnya kekeringan.

Masukkan air ke dalam ruang pasu iaitu ruang di tengah susunan daun pokok supaya ia mendapat kelembapan yang diperlukan untuk hidup subur seperti di alam semula jadi. – Agensi