‘Meet & Greet’ delegasi Indonesia di BITC

‘Meet & Greet’ delegasi Indonesia di BITC

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mac – Delegasi dari Indonesia yang menyertai Ekspo Perdagangan dan Pengguna Antarabangsa Brunei (BITC) di Dewan BRIDEX, Jerudong sehingga esok (2 Mac) telah mengadakan ‘Meet & Greet’ yang berlangsung bertempat tingkat Mezzanie, East Wing, BRIDEX, pagi tadi.

Sesi ini antara lain bertujuan untuk mencari pengedar bagi mengedarkan produk-produk mereka bukan hanya di negara ini tetapi juga di negara-negara yang menyertai BITC seperti Malaysia, Kemboja dan Thailand.

Antara produk yang dibawakan dalam sesi berkenaan adalah barangan kosmetik, penjagaan rambut dan kulit serta kain batik asli dari dua buah syarikat berbeza iaitu LA Tulipe dan Hassa Batik & Craft.

Kedua-dua syarikat berkenaan memperkenalkan keunikan dan tarikan produk masing-masing untuk mencari pengedar produk berkala besar dalam memajukan lagi perniagaan masing-masing.

LA Tulipe telah pun berada di negara ini di bawah nama Syarikat Barun On Sdn Bhd dan mereka menyertai promosi itu untuk mendapatkan perhatian pengedar dari negara lain.

Promoter jualan daripada delegasi Indonesia mencari pengedar berpotensi.
Promoter jualan daripada delegasi Indonesia mencari pengedar berpotensi.

Antara produk edisi terhad daripada syarikat yang mengetengahkan jenama La Tulipe Cosmetiques, LT Pro Professional Make-Up dan penjagaan rambut X-pert itu termasuk set barangan mekap lengkap untuk perjalanan.

“Set mekap travelling ini sesuai untuk dibawa ke mana sahaja untuk kemudahan pengguna membawa dalam satu kotak khas. Produk ini memiliki dua versi iaitu Asia Beauty dan Europe Beauty,” jelas wakil salah seorang promoter produk berkenaan.

Katanya, perbezaan antara Asia Beauty dengan Europe Beauty adalah pilihan palet warna yang terdapat di dalamnya, menurut beliau, set Asia lebih kepada warna-warna lembut natural manakala set Europe lebih kepada warna gelap memandangkan orang Eropah lebih kepada penggunaan mekap smoky dan terang.

Sementara itu, pada sebelah petang pula, delegasi dari Filipina pula membawakan produk-produk mereka untuk menarik perhatian pengedar-pengedar dari dalam dan luar negara.

Sehubungan itu, orang ramai yang berminat masih boleh berkunjung ke ekspo berkenaan esok di mana para peserta dari pelbagai negara menawarkan promosi-promosi hebat untuk menghabiskan stok-stok yang dibawa terus dari negara masing-masing.

ARTIKEL YANG SAMA