MEF harap penangguhan tidak bebankan majikan tempatan

MEF harap penangguhan tidak bebankan majikan tempatan

KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) – Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) berharap keputusan kerajaan menangguh pengambilan pekerja asing tidak akan melibatkan dan membebankan kebanyakan majikan tempatan yang telahpun mendapat kelulusan untuk membawa rakyat dari negara luar sebagai tenaga kerja di negara ini.

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Shamsuddin Bardan berkata mungkin terdapat sesetengah majikan yang telah membuat pembayaran dan mempunyai komitmen tertentu dan keputusan kerajaan ini mungkin akan melambatkan pekerjaan mereka.

“Saya khuatir sekiranya kerajaan serius akan keputusan ini termasuklah menghalang kedatangan pekerja asing dari Bangladesh, ia akan memberikan mesej yang tidak menentu kepada pemain-pemain industri tanahair, di mana mereka mungkin tidak mempunyai kepercayaan yang penuh terhadap kerajaaan,” beliau berkata kepada Bernama.

Shamsuddin berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai pengumuman oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai penangguhan pengambilan pekerja asing dari semua negara sumber sehingga kerajaan berpuas hati terhadap keperluan sebenar tenaga kerja oleh pihak industri.

Keputusan penangguhan tersebut dibuat setelah kerajaan Bangladesh meluluskan draf perjanjian memorandum persefahaman berhubung penghantaran sebanyak 1.5 juta rakyatnya untuk bekerja di Malaysia.

Sementara itu, Shamsuddin turut menggesa kerajaan agar memberikan had atau skop pekerjaan kepada pekerja asing sekiranya bilangan mereka yang besar masih lagi diperlukan di Malaysia. Menurutnya, antara pekerjaan yang kemungkinan boleh dilakukan oleh pekerja asing termasuklah di sektor perladangan dan juga pembinaan.

“Walaubagaimanapun, keadaan ini tidak sepatutnya diteruskan kerana pekerjaan tersebut boleh dimodenkan, sejajar dengan hasrat Malaysia untuk mencapai taraf negara maju pada tahun 2020”, tambah beliau.

ARTIKEL YANG SAMA