Megamas perkenalkan kursus baru

Megamas perkenalkan kursus baru

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 1 Mei – Megamas Training Company Sdn Bhd telah memperkenalkan kursus baru, iaitu NEBOSH Award In Health and Safety (Peringkat Dua), yang bermula minggu lepas, bagi mereka yang berhasrat untuk memasuki karier dalam bidang Kesihatan, Keselamatan dan Persekitaran (HSE).

Pengurus Perniagaan dan Pembangunan syarikat itu, Jeremy Chua, berkata kursus tersebut diperkenalkan sebagai jalan alternatif untuk melangkah naik ke peringkat tiga iaitu kursus NEBOSH International General Certificate (NEBOSH IGC).

“Sebelum ini, kebanyakan peserta mengambil kursus Peringkat Dua iaitu IOSH sebelum melangkah naik ke Peringkat Tiga. Di dalam industri minyak dan gas, kebanyakan syarikat lebih suka untuk mengambil mereka yang mempunyai kelayakan NEBOSH IGC sebagai pegawai HSE mereka.

“Jadi untuk memudahkan perjalanan mereka yang ingin memahami selok-belok, dan berhasrat untuk mengambil, NEBOSH IGC, mereka boleh mengambil NEBOSH Award In Health and Safety sebagai permulaan sebelum mengambil kursus lanjutan NEBOSH IGC,” katanya ketika ditemui pada Jerayawara Kerjaya di Sekolah Menengah Sayyidina Ali, di sini.

Jeremy Chua menjelaskan kepada penuntut-penuntut semasa Jerayawara Kerjaya di Sekolah Menengah Sayyidina Ali.
Jeremy Chua menjelaskan kepada penuntut-penuntut semasa Jerayawara Kerjaya di Sekolah Menengah Sayyidina Ali.

Jelasnya, tidak banyak perbezaan selain penggunaan dalam istilah dan struktur kursus sekiranya peserta mengambil kursus IOSH atau NEBOSH, cuma NEBOSH Award in Health and Safety mempunyai kaitan yang rapat lagi dengan kursus NEBOSH IGC.

“Sekiranya peserta itu sudah mempunyai kelayakan NEBOSH Award in Health and Safety, ini akan memudahkan pemahaman mereka lagi untuk mempelajari dan menduduki peperiksaan NEBOSH IGC,” kata Pengurus itu.

Menurutnya lagi, latihan bagi kursus NEBOSH Award in Health and Safety ini memakan masa selama tiga hari, sijil kelayakan ini adalah untuk sepanjang hayat dan latihannya akan diadakan di dua tempat, iaitu ibu pejabat Megamas di Daerah Belait dan di Regent Square, Kiulap.

ARTIKEL YANG SAMA