Mekarkan B. Melayu

Mekarkan B. Melayu

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Mei – Dalam statistik dunia, seramai 400 juta orang adalah penutur Bahasa Melayu dan mendapat nombor keempat dalam turutan jumlah penuntut terpenting bagi bahasa-bahasa di dunia selepas Bahasa Mandarin, Inggeris dan Bahasa Hindu/Urdu.

Bagaimanapun, Pemangku Timbalan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Hajah Sariani binti Haji Ishak menekankan, data statistik tersebut bukan satu jaminan untuk melayakkan bahasa ini terus kekal bertahan dan berkembang.

“Kerana perlu diketahui keberkesanan penggunaan Bahasa Melayu ini setentunya bergantung secara dominan kepada kesedaran masyarakat bukan hanya menuturkan Bahasa Melayu saja.”

Ia lebih kepada membudaya, memasyarakatkan dan mengilmukan Bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa, tambah beliau ketika menyampaikan ucapan perasmian Bengkel Pembentukan Kamus Istilah (BPKI) yang berlangsung di Dewan Sarmayuda, DBP, Berakas hari ini.

Menurut beliau lagi, setiap bidang ilmu di dunia ini menggunakan istilah khusus dan sentiasa memutakhirkan istilah dalam bidang ilmu masing-masing yang secara langsung memberi kesan kepada pengayaan bahasa itu sendiri.

Para peserta bergambar ramai dengan fasilitator bengkel.
Para peserta bergambar ramai dengan fasilitator bengkel.
Dr. Hasnah selaku fasilitator bagi bengkel pembentukan kamus istilah.
Dr. Hasnah selaku fasilitator bagi bengkel pembentukan kamus istilah.

Dalam perkara ini, beliau menekankan, sebagai bangsa Melayu kitalah titik tumpuan terhadap tumbuh dan mekarnya bahasa yang dibina itu.

Beliau juga mengingatkan, dinamis dan bercambahnya istilah dalam reformasi dunia masa ini tidak membawa apa-apa makna dan kesan holistik jika ia tidak diamalkan, tidak dituturkan dan tidak menggunakan istilah berkenaan secara meluas.

Sehubungan itu, DBP tidak kendur-kendur menjalankan inisiatif dalam memasyarakatkan dan menyebarluaskan istilah yang telah digubal seperti mengadakan ‘Dudun Bahasa’ di sekolah-sekolah untuk mengetengahkan istilah ilmu kepada pelajar.

Ke arah itu, tambah beliau, langkah yang perlu diambil dalam bergerak seiring dengan kemajuan dunia ialah memantapkan bidang pewacanaan.

Menurutnya, DBP setakat ini telah mengungkayah 142 pembukuan daftar istilah pelbagai bidang ilmu iaitu 207,795 entri istilah di mana kesemua istilah yang digubal itu berdasarkan dengan binaan bahasa yang baik, berkesan dan mengikut standardisasi pembentukan istilah yang disepakati oleh tiga negara MABBIM.

“Kesinambungan daripada pembukuan dan bengkel ini akan dikembangkan dalam bentuk kamus istilah supaya nilai akademik dapat diketengahkan untuk kegunaan dan rujukan orang awam,” tambahnya.

DBP juga sedang giat mendokumentasi dan melaksanakan istilah peribumi dan tempatan yang merangkumi kepada elemen kearifan setempat seperti pengkompilasian istilah sayur-sayuran, istilah tumbuh-tumbuhan dan istilah ubat-ubatan (herba tempatan), ujarnya lagi.

Bengkel tiga hari yang berlangsung sehingga 25 Mei ini antara lain bertujuan untuk membina kamus istilah yang bertepatan dengan konseptual pengistilahan di samping memberi pendedahan dan pengetahuan kepada peserta mengenai tatacara penggubalan istilah kamus yang betul dan tepat.

Bengkel kali kedua itu dikendalikan oleh Pensyarah Kanan di Jabatan Bahasa Melayu, Universiti Putera Malaysia, Serdang, Dr. Hasnah binti Mohamad selaku fasilitator.

ARTIKEL YANG SAMA