Melaka mahu tarik pelabur India

Melaka mahu tarik pelabur India

MELAKA, 28 Dis – Melaka kini dalam proses untuk menarik para pelabur India, khususnya dalam bidang penghasilan tekstil.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, antara usaha itu termasuk menerusi kunjungan rasmi lapan harinya ke Kashmir bermula 15 Disember 2015, bagi mengembangkan lagi industri tekstil dan pakaian di negeri berkenaan.

Malah, katanya, penghasilan produk yang turut meletakkan keterangan seperti ‘Buatan Malaysia’ pada tekstil dan pakaian, juga dapat membantu melonjakkan nama negara.

“Saya melihat ada beberapa hubungan pelaburan yang boleh dijalinkan. Ini kerana, para pelabur India pernah bertumpu di Melaka menerusi pelaburan dalam pengeluaran pakaian (jenama runcit antarabangsa) Marks & Spencer dan pelbagai jenama lain.

“Sehubungan itu, saya mahu menghidupkan semula pelaburan tekstil ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri itu di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Pada tahun lepas, Melaka berjaya menarik pelaburan bernilai RM4.4 bilion, termasuk pelaburan asing sebanyak RM1.8 bilion.

Bagi tahun ini, Melaka menyasarkan pelaburan berjumlah RM5 bilion, katanya.

Selain itu, Idris berkata, Kerajaan Negeri juga bercadang untuk menaik taraf Hang Tuah Mall di sini kepada bangunan yang menepati standard negara maju.

“Kita akan kemukakan perancangan terperinci projek yang menyaksikan perubahan bangunan era pasca perang itu.

“Saya sudah meminta pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) mengadakan ujian keselamatan terhadap bangunan itu

berikutan masalah dindingnya diselaputi air,” katanya.

Menurutnya, kawasan Jalan Hang Tuah itu juga mampu menjadi sebuah bandar lestari dengan pembangunan termasuk sebuah bangunan Yayasan Melaka setinggi 30 tingkat. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA