Melaka mampu jadi nadi penting Laluan Sutera Maritim

Melaka mampu jadi nadi penting Laluan Sutera Maritim

MELAKA, 25 Sept (Bernama) – Melaka mampu menjadi nadi penting dalam hasrat China membangunkan Laluan Sutera Maritim Abad Ke-21, terutama menerusi hubungan yang telah terjalin antara Melaka dan wilayah Guangdong di negara itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata Melaka juga mempunyai kedudukan strategik di Asia Tenggara yang mampu menjadi pemangkin dalam kegiatan perdagangan di laluan tersebut.

“Langkah Guangdong yang memilih sendiri Melaka sebagai komponen penting dalam melaksanakan Laluan Sutera Maritim Abad Ke-21 itu memperlihatkan pentingnya Melaka dalam inisiatif itu.

“Sejarah membuktikan bahawa Melaka telah menjadi nadi penting dalam perdagangan di Laluan Sutera Maritim, malah Zheng He yang telah tujuh kali belayar merentas laluan itu dan singgah lima kali di Melaka, saya fikir ternyata ada perkara yang baik di Melaka,” katanya kepada Bernama di sini.

Pada 21 September lepas, Melaka dan Guangdong memeterai memorandum persefahaman bagi pewujudan Negeri dan Wilayah Persahabatan bagi terus memperkukuh hubungan persahabatan serta kerjasama kedua-dua pihak.

Laluan Sutera Maritim Abad Ke-21 merupakan antara dua komponen pelan pembangunan ‘One Belt, One Road’, dengan ‘Silk Road Economic Belt’ dilaksanakan China bagi membangunkan kerjasama negara-negara Eurasia, terutama dalam bidang perdagangan.

ARTIKEL YANG SAMA