Melanau digesa gembleng tenaga

Melanau digesa gembleng tenaga

SIBU, 30 Nov (Bernama) – Komuniti Melanau digesa supaya menggembleng tenaga serta membentuk usahasama dalam pelbagai bidang bersama komuniti lain sekiranya ingin mencapai kecemerlangan berterusan.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) Datuk Len Talif Salleh berkata komuniti itu tidak boleh bergerak dalam kelompok mereka sahaja kerana Sarawak turut didiami kelompok pelbagai etnik.

Mereka yang telah mengecapi kejayaan dalam bidang masing-masing pula perlu membantu orang lain dalam komuniti itu untuk turut sama berjaya, katanya pada Malam Citra Warna dan Anugerah Persatuan Melanau Sibu (PMS) di sini malam tadi.

Pada majlis itu, 21 anak anggota PMS yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Ujian Bertulis Penaksiran Tingkatan 3 (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Ijazah tahun 2014-2015 menerima insentif kewangan antara RM50 hingga RM250 setiap seorang.