Melestari dakwah di Brunei

Melestari dakwah di Brunei

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Sept – Pendekatan dakwah yang digunakan seperti al-Hikmah (kebijaksanaan), al-Mau’izah al-Hasanah (nasihat yang baik), al-Mujadalah bi al-Lati Hiya Ahsan (perdebatan dengan cara yang baik) dan Qudwah Hasanah (contoh teladan yang baik) sering diguna pakai sebagai panduan untuk berdakwah kepada golongan bukan Muslim.

Pengarah Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Hajah Siti Azizah binti Haji Musa berkata pendekatan ini banyak digunakan dalam aktiviti dakwah secara tradisi iaitu semasa mengadakan kunjungan muhibah, lawatan dan ziarah dakwah, perjumpaan muhibah, sukan muhibah, kerja gotong royong dan lain-lain.

Beliau menjelaskan pendekatan yang diambil oleh Pusat Dakwah Islamiah untuk menyebarkan agama Islam berkenaan ketika membentangkan kertas kerja utama bertajuk ‘Melestari Dakwah di Negara Brunei Darussalam: Pengalaman Pusat Dakwah Islamiah’ semasa hari kedua Konferensi Antarabangsa Islam ke-8 (KAIB VIII), di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), kelmarin.

Dalam pembentangannya itu, Hajah Siti Azizah menumpukan dakwah kepada bukan Muslim dan mengenai cabaran serta pendekatan yang diguna pakai dalam menghadapi cabaran tersebut.

Di samping memberi tumpuan kepada realiti dalam mengaplikasikan kaedah dakwah di negara ini yang dilaksanakan secara tersusun dan terancang dengan mengambil kira keadaan, suasana dan persekitaran serta kemajuan alat komunikasi masa kini.

Orang ramai yang hadir memperdengarkan pembentangan kertas kerja semasa hari kedua KAIB di UNISSA baru-baru ini.
Orang ramai yang hadir memperdengarkan pembentangan kertas kerja semasa hari kedua KAIB di UNISSA baru-baru ini.

Menurut beliau, gerakan dakwah di negara ini dilaksanakan oleh Jabatan Adat Istiadat, Ugama dan Kebajikan Masyarakat yang ditubuhkan pada tahun 1954.

“Jabatan ini telah berusaha mengembangkan dan menyebarkan agama Islam di Brunei dengan memfokuskan tugas kepada memberikan kefahaman Islam yang sebenarnya kepada masyarakat di mana pada waktu itu menghadapi situasi kecelaruan beragama,” tambahnya.

Setelah tertubuhnya Pusat Dakwah Islamiah (PDI) pada tahun 1985, dengan sendirinya tugas-tugas dakwah telah berpindah ke jabatan ini dengan wawasan dan strategi yang lebih berpandu dan terarah.

“PDI memainkan peranan penting dalam gerakan dakwah Islamiah di Brunei dan pelbagai metode, pendekatan dan wasilah yang bersesuaian diguna pakai untuk menyampaikan dakwah kepada rakyat dan penduduk di negara ini dengan harapan dakwah mudah diterima dan dapat menarik lebih ramai lagi golongan bukan Muslim memeluk agama Islam,” jelasnya.

Beliau seterusnya menjelaskan dakwah di kawasan pedalaman pada awalnya telah menerima pelbagai reaksi yang berbeza, ada yang menerima dan ada yang menentang dengan pelbagai cara.

“Dengan kesungguhan dan kegigihan tanpa mengenal erti jemu, dakwah secara perlahan-lahan telah dapat diterima malah telah menarik sasaran kepada Islam,” ujarnya.

Dalam pembentangannya itu, Hajah Siti Azizah turut mendedahkan bahawa jumlah mualaf dari tahun 1985 hingga 2014 di negara ini seramai 14,451 orang dari pelbagai bangsa di seluruh negara.

Jika dilihat statistik keramaian mualaf dari tahun 2009 hingga 2014 mengikut bangsa pula, puak Iban antara yang paling ramai memeluk agama Islam jika dibandingkan dengan puak lain tapi bermula tahun 2013, jumlah keramaian mualaf bagi puak Dusun dilihat semakin meningkat hingga menandingi keramaian puak Iban.

Menurutnya, Pusat Dakwah Islamiah akan terus melaksanakan peranan dan tanggungjawabnya dalam melestari dakwah di negara ini dan akan sentiasa mengemas kini strategi-strateginya mengikut perkembangan semasa.

Beliau seterusnya menekankan, masyarakat umum harus menyedari bahawa tugas berdakwah bukan hanya tertumpu kepada institusi kerajaan semata-mata, tapi juga komitmen orang ramai sendiri seperti tanggungjawab keluarga, sektor swasta, kampung dan mukim, kakitangan kerajaan dan bukan kerajaan kepada dakwah.

ARTIKEL YANG SAMA