Melestarikan sumber hutan

Melestarikan sumber hutan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Jun – Inisiatif Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) dalam melaksanakan program mendukung usaha pemeliharaan alam sekitar secara berterusan termasuk ekosistem sumber hutan dan menghijaukan alam sekitar melalui penjagaan tumbuh-tumbuhan atau pokok tertentu di Brunei merupakan satu usaha yang harus terus dipertingkatkan dan diberikan pujian.

Pengarah Jabatan Pendidikan Ko-kurikulum, Kementerian Pendidikan, Pengiran Suhaimi bin Pengiran Bakar berkata, Brunei amat beruntung kerana masih mempunyai kira-kira 75 peratus landskapnya yang dipenuhi dengan hutan hijau, meliputi pelbagai flora dan fauna yang berfungsi menjadikan satu ekosistem yang sempurna bagi membekalkan udara segar dan air yang bersih.

“Ianya dapat menjadi nilai tambah yang sangat berguna dalam pembelajaran di luar bilik darjah kepada peserta perkhemahan,” tambah beliau semasa berucap pada Program Perkhemahan Alam Sekitar ke-5 sempena Sambutan Ulang Tahun Pertama Hari Menanam Pokok PPNBD yang berlangsung di Kawasan Projek Penanaman Pokok PPNBD, Km 12, Kampung Sungai Mau, Jalan Labi-Liang, Mukim Bukit Sawat, Daerah Belait.

Pengiran Suhaimi seterusnya berkata, pelaksanaan program itu adalah sangat bertepatan dan selaras dengan hasrat Jabatan Pendidikan Kokurikulum iaitu untuk sentiasa menyemai nilai-nilai pendidikan dalam gerak kerja kokurikulum khususnya dalam kalangan para penuntut bagi mencapai beberapa matlamat penting.

Antara matlamat itu adalah bagi menyemai perasaan muhibah, perpaduan dan integrasi dalam kalangan generasi muda; peningkatan disiplin penuntut; pengalaman yang menyeluruh dan keseimbangan dengan pendidikan formal.

Pengiran Suhaimi menanam anak pokok Tulung-Tulung.
Pengiran Suhaimi menanam anak pokok Tulung-Tulung.
Pemimpin Pengakap Tunas bersama ahli Pengakap Tunas menanam pokok.
Pemimpin Pengakap Tunas bersama ahli Pengakap Tunas menanam pokok.
Antara ahli-ahli Kumpulan Pengakap 2002 Sekolah Menengah Sufri Bolkiah Tutong, yang turut serta dalam perkhemahan berkenaan. – Gambar oleh Sulaiman bin Haji Sihiek
Antara ahli-ahli Kumpulan Pengakap 2002 Sekolah Menengah Sufri Bolkiah Tutong, yang turut serta dalam perkhemahan berkenaan. – Gambar oleh Sulaiman bin Haji Sihiek

Katanya lagi, ini dapat meningkatkan imej PPNBD yang sentiasa prihatin dalam mengekalkan usaha penanaman dan penjagaan yang berterusan dan bersistem melalui kaedah ‘Tanam – Pelihara – Pantau – Tanam’ dalam sama-sama mendokong dan memberigakan perlaksanaan aktiviti-aktiviti pemeliharaan secara penghijauan di negara ini.

Penglibatan PPNBD dalam aktiviti-aktiviti penghijauan melalui program perkhemahan itu adalah sangat unik kerana penglibatan serta pendekatan yang diambil, bukan sahaja tertumpu kepada aktiviti penanaman pokok semata-mata tetapi juga diunjurkan kepada aktiviti-aktiviti penjagaan yang telah ditanam secara berterusan dalam memastikan matlamat sebenar projek ini dapat dicapai di mana pokok-pokok yang telah ditanam dipastikan tumbuh membesar dengan sihat dan segar.

Lebih 200 ahli pengakap dari Bahagian Pengakap Tunas, Bahagian Pengakap Muda, Bahagian Pengakap Remaja dan Bahagian Pengakap Kelana dari seluruh negara telah ikut serta dalam program selama tiga hari itu.

Program yang bermula 30 Mei lalu itu dihasratkan untuk melestarikan sumber hutan dan penghijauan alam sekitar untuk warisan generasi akan datang.

Ia juga diharap dapat meningkatkan kesedaran orang ramai khususnya generasi muda agar mereka menjadi pewaris masa hadapan yang berwawasan, bertanggungjawab dan prihatin akan kepentingan mengurus dan memelihara sumber hutan secara lestari untuk faedah sejagat bagi masa kini dan akan datang.

Pengiran Suhaimi bergambar ramai bersama peserta perkhemahan. - Gambar ihsan PPNBD
Pengiran Suhaimi bergambar ramai bersama peserta perkhemahan. – Gambar ihsan PPNBD

Perkhemahan Alam Sekitar mula diperkenalkan pada 2008 dan tahun ini genap usianya ke-7 tahun, yang mana ia diperkenalkan bagi menyuntik sikap dan semangat kesedaran mengenai dengan penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar dalam kalangan ahli-ahli pengakap.

Perkhemahan kali ini adalah kesinambungan perkhemahan yang lalu iaitu bagi meningkatkan kesedaran ahli-ahli mengenai kepentingan alam sekitar dan juga sebagai salah satu Inisiatif Program Perutusan Kedamaian dengan pengisian program Hari Menanam Pokok PPNBD yang telah dilancarkan pada tahun lalu.

Perutusan Kedamaian merupakan sebuah program global yang mana melibatkan ahli-ahli pengakap dari seluruh dunia, yang mana ahli-ahli akan melaksanakan projek yang dapat menyumbangkan konsep perdamaian di peringkat negara masing-masing.

Kegiatan-kegiatan yang dijalankan sepanjang perkhemahan termasuk mengenali pokok-pokok yang telah ditanam, membersihkan kawasan serta membaja, aktiviti bersama pokok, pengembaraan Mesra Hutan dan membicarakan Hutan dan Aku.

Acara kemuncak program dilaksanakan pada hari ini iaitu menanam sebanyak 350 batang anak pokok jenis Tulung-Tulung yang telah dibekalkan oleh Jabatan Perhutanan.

Ia juga sebahagian daripada usaha penanaman semula pokok-pokok yang mati akibat kebakaran hutan yang telah berlaku di kawasan tersebut pada bulan Mei yang lalu.

ARTIKEL YANG SAMA