Melindungi kawasan keutamaan pemuliharaan

Melindungi kawasan keutamaan pemuliharaan

KOTA KINABALU, 4 Jun (Bernama) – Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia hari ini menjalin kerjasama kukuh dengan Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah

Sabah, sebuah agensi di bawah Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, untuk melaksanakan rancangan kawasan marin pertama Malaysia di Semporna.

Langkah di bawah Perancangan Kawasan Marin Semporna (SMSP) ini dilaksanakan melalui memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani dua organisasi di sini hari ini.

WWF Malaysia diwakili pengarah pemuliharaannya, Dr Sundari Ramakrishna, manakala Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah Sabah oleh pengarahnya, Murshidi Sapie.

Upacara itu disaksikan Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Matius Sator dan Anggota Dewan Undangan Negeri Sulabayan Datuk Dr Jaujan Sambakong.

Pemeteraian MoU dan pelancaran SMSP itu merupakan pengiktirafan terhadap pendekatan SMSP serta dokumen perancangan muktamad yang akan diguna pakai dan dimaktubkan ke dalam rangka kerja kawal selia kerajaan negeri Sabah.

Sundari berkata rancangan itu bertujuan menarik semua pemegang taruh untuk bekerjasama, di samping memastikan pelaksanaan, penguatkuasaan dan pemantauan aktiviti akan dapat dimulakan ke arah mewujudkan kelestarian alam sekitar di Kawasan Keutamaan Pemuliharaan Semporna (PCA).

Sementara itu, Jaujan berkata beliau berharap kedua-dua organisasi itu akan merangka pelan yang boleh diterima semua pihak bagi membawa kemakmuran ke kawasan berkenaan, menjaga alam sekitar marin dan memulihkan kekayaan biodiversiti.

Beliau juga mencadangkan agar WWF Malaysia menubuhkan pusat penyelidikan marin di Semporna bagi membolehkan penyelidik marin antarabangsa dan tempatan datang dan berkongsi data berkaitan bidang berkenaan serta memberi bimbingan kepada penduduk tempatan tentang aktiviti pemuliharaan.