Memahami kaedah rawatan di Brunei

Memahami kaedah rawatan di Brunei

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Ogos – Dengan hasrat untuk mengetahui dan mempelajari program serta kaedah rawatan dan pemulihan yang dijalankan di Negara Brunei Darussalam, rombongan seramai sembilan orang pegawai dari Princess Mother National Institute Drug Abuse Treatment, Hospital Thanyarak Pattani, Thailand mengadakan lawatan kerja ke Biro Kawalan Narkotik (BKN), Jalan Tungku, hari ini.

Ketibaan rombongan yang diketuai oleh Timbalan Pengarah, Jabatan Perkhidmatan Perubatan, Hospital Thanyarak Pattani, Dr Paskorn Chaivanichsiri, di BKN dialu-alukan oleh Pemangku Pengarah BKN, Haji Mohd Jaffari bin Haji Mahadi serta pegawai-pegawai kanan BKN.

Haji Mohd Jaffari dalam kata alu-aluannya menyatakan perasaan amat berbangga dan gembira dengan peluang yang ada untuk mempelajari di antara satu sama yang lain dan berkongsi amalan terbaik dalam bidang rawat dan pemulihan.

Beliau juga maklum bahawa salah satu matlamat lawatan kerja rombongan berkenaan adalah untuk mempelajari dan berkongsi amalan terbaik dalam rawatan penyalahgunaan dadah melalui pendekatan kerohanian dan keagamaan.Beliau yakin bahawa kedua-dua belah pihak mempunyai nilai yang serupa dan mampu untuk belajar di antara satu sama yang lain terutama dengan BKN mengutamakan pengajaran dan amalan Islam sebagai elemen penting dalam rawatan penyalahgunaan dadah di mana sebilangan besar penghuni di Pusat Rawatan dan Pemulihan Al-Islah beragama Islam.

Haji Mohd Jaffari dan Dr. Paskorn Chaivanichisiri bergambar ramai dengan rombongan serta pegawai-pegawai kanan BKN semasa lawatan kerja berkenaan.
Haji Mohd Jaffari dan Dr. Paskorn Chaivanichisiri bergambar ramai dengan rombongan serta pegawai-pegawai kanan BKN semasa lawatan kerja berkenaan.

“Kami percaya bahawa kepercayaan keagamaan dan nilai-nilai kerohanian boleh membawa kepada perubahan positif dalam perangai seseorang dan oleh itu, ia menyumbang kepada perlunya rawatan dan pemulihan menggunakan pendekatan ini.”

Dalam kata alu-aluannya lagi, Haji Mohd Jaffari turut menyatakan harapan, semasa sesi dialog sepanjang lawatan rombongan berkenaan, ia akan memberikan peluang kepada kedua-dua belah pihak untuk mendalamkan lagi ilmu pengetahuan dan meraih manfaat daripada pertukaran amalan terbaik serta juga untuk merangka cadangan dalam membangunkan pendekatan masing-masing dalam rawatan penyalahgunaan dadah.

Rombongan Hospital Thanayarak Pattani itu berada di Negara Brunei Darussalam bagi lawatan kerja selama lima hari bermula 7 Ogos hingga 11 Ogos di mana selain melawat dan mendengar taklimat mengenai BKN, mereka juga akan mengadakan lawatan ke Pusat Rawatan dan Pemulihan Al-Islah esok.Lawatan kerja berkenaan bermatlamat untuk memberikan peluang kepada kedua-dua buah negara mengenali, mempelajari dan mengetahui program serta kaedah rawatan dan pemulihan yang dijalankan.

ARTIKEL YANG SAMA