Memahami lebih dekat budaya Brunei

Memahami lebih dekat budaya Brunei

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mac – Pengalaman lebih enam bulan berada di Negara Brunei Darussalam banyak memberikan kumpulan sukarelawan China, pengertian dan memahami dengan lebih dekat budaya, sejarah dan kehidupan masyarakat Brunei.

Melalui kerja-kerja kebajikan dan kesukarelawan yang dilaksanakan oleh kumpulan itu, mereka bukan sahaja melihat dan mengalami sendiri kemesraan masyarakat Brunei tetapi memahami lagi erti keunikan semangat bergotong-royong dan kekeluargaan dalam melaksanakan sesuatu tugas.

“Pengalaman yang kami tempuhi selama ini telah banyak membuka minda dan mematangkan kami,” jelas salah seorang sukarelawan China, Guowei He dalam temu bual ringkas bersama Media Permata di gerai pameran sukarelawan China di Ekspo Makanan dan Budaya, Flavours BIMP-EAGA & Beyond 2016 yang berlangsung di The Airport Mall, Berakas, hari ini.

Guowei berkata bahawa beliau bersama rakan-rakannya berpeluang untuk melihat sendiri budaya masyarakat Brunei dan menyertai pelbagai kegiatan kebajikan termasuk mengadakan projek sukarela di Pusat Ehsan.

Menurutnya lagi, kumpulan sukarelawan China seramai 10 orang berada di Brunei sejak Ogos 2015 dan bakal menamatkan penempatan mereka di Brunei pada Jun nanti.

Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali bin Haji Apong diberikan penerangan mengenai kegiatan sukarelawan China sepanjang program mereka di Brunei.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali bin Haji Apong diberikan penerangan mengenai kegiatan sukarelawan China sepanjang program mereka di Brunei.
Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancong serta Puan Yang Terutama Yang Jian bergambar ramai bersama Kumpulan Sukarelawan China.
Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancong serta Puan Yang Terutama Yang Jian bergambar ramai bersama Kumpulan Sukarelawan China.

Jelasnya lagi, kumpulan mereka merupakan kumpulan sukarelawan kedua yang mengadakan penempatan di Brunei selama kira-kira setahun di mana kumpulan pertama menamatkan perkhidmatan sukarelawan mereka pada 2013.

Beliau menerangkan bahawa pada permulaan penempatan mereka, mereka kurang memahami mengenai Brunei tetapi setelah berada di negara ini sejak Ogos lalu, mereka banyak mempelajari mengenai keunikan bukan sahaja budaya tetapi juga kemesraan layanan masyarakat Brunei.

Program Sukarelawan China merupakan satu program yang dihasratkan untuk mempromosikan kerjasama di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China di mana di bawah program itu, China akan menghantar kumpulan sukarelawan ke Brunei untuk menyertai program penempatan dan sukarelawan selama setahun.

Fasa pertama bagi program itu dilancarkan pada 2012 di mana kumpulan seramai lebih 20 orang sukarelawan China telah menyertai dan berjaya menamatkan penempatan mereka pada 2013.

Fasa kedua bagi program itu, menyaksikan penyertaan seramai 10 orang sukarelawan China yang bertugas sebagai pembantu pengajar di Universiti Brunei Darussalam dalam pelbagai bidang iaitu perubatan, perakaunan dan Bahasa Mandarin.

Kumpulan sukarelawan itu juga ditempatkan di tiga fakulti UBD iaitu Institut Sains Kesihatan, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi serta Pusat Bahasa di mana mereka bukan sahaja terlibat dalam kerja-kerja mengajar tetapi juga mengambil bahagian dalam kerja-kerja penyelidikan di UBD.

Selain daripada terlibat dalam kerja-kerja mengajar dan penyelidikan, kumpulan itu turut mengadakan kerja-kerja sukarelawan di Pusat Ehsan dan berharap untuk meneruskan penyertaan serta penglibatan mereka dalam pelbagai kegiatan kebajikan, amal dan kesukarelawanan sehingga tamat tempoh penempatan mereka.

ARTIKEL YANG SAMA