Memahami pengurusan secara Islam

Memahami pengurusan secara Islam

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Okt – Hampir 160 orang pegawai dan kakitangan di sektor kerajaan dan swasta menghadiri Seminar Pengurusan Secara Islam 2015 yang berlangsung selama dua hari di Dewan Caesar, Hotel Orchid Garden, bermula hari ini.

Seminar ini merupakan anjuran bersama Institut Perkhidmatan Awam (IPA) Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Irshad HR Consulting yang turut dihadiri oleh Pengarah IPA, Hajah Norezan binti Haji Hambali.

Membawakan tajuk ‘Membina Organisasi Dinamik Melalui Pendekatan Pengurusan Ar-Rasyidin’ ini bertujuan untuk memahami konsep dan kepentingan Amalan Pengurusan Islam dalam konteks kejayaan organisasi di samping membantu membezakan penyelesaian masalah etika pengurusan antara kaedah konvensional dan Islam serta menggalakkan nilai-nilai dan norma-norma untuk mencapai objektif pengurusan Islam.

Ia dibahagikan kepada enam sesi dengan pelbagai tajuk menarik yang menampilkan tiga orang penceramah undangan dari Malaysia.

Atur cara seminar dimulakan dengan sebuah taklimat yang disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Sharifah Hayaati binti Syed Ismail yang antara lain menekankan bahawa Pendekatan Pengurusan Ar-Rasyidin merupakan salah satu cara yang unik untuk mendekatkan diri dengan Allah S.W.T kerana nama Ar-Rashid merupakan salah satu nama daripada 99 nama Allah S.W.T.

Pengarah IPA (tengah) semasa hadir di seminar itu.
Pengarah IPA (tengah) semasa hadir di seminar itu.
Profesor Madya Dr. Sharifah Hayaati semasa menyampaikan taklimat.
Profesor Madya Dr. Sharifah Hayaati semasa menyampaikan taklimat.

Menurut beliau, untuk menjadi seorang individu atau pekerja yang berjaya, umat Islam haruslah mengikuti langkah-langkah yang betul melalui khalifah-khalifah Islam.

Dalam taklimat itu juga, Profesor Madya Dr. Sharifah Hayaati menyentuh mengenai organisasi yang dinamik dan cara-cara menggunakan serta mengamalkan Pendekatan Pengurusan Ar-Rasyidin.

Sesi kedua diteruskan dengan taklimat oleh Profesor Madya Dr. Sharifah Hayaati dengan tajuknya ‘Nilai-nilai Islam, Etika dan Akauntabiliti untuk Urus Tadbir yang Baik dalam Pertubuhan’.

Kemudian seminar itu diakhiri dengan taklimat daripada Pengerusi/Pengarah Lembaga Pengarah eNcoral, Dr. Azman bin Hussin yang membincangkan mengenai ‘Bagaimana untuk melaksanakan Amalan Pengurusan Berasaskan Islam – Cabaran untuk Sebuah Pertubuhan’.

Manakala itu, pada hari kedua esok, sesi pertama dan kedua akan diteruskan oleh Dr. Azman dengan tajuk beliau ‘Amalan Kepimpinan Islam – Pembelajaran Praktikal daripada Ar-Rasyidin’ dan diteruskan lagi dengan sesi terakhir daripada penceramah ketiga dari Ketua Pegawai Eksekutif Profess Consulting Group, Haji Mohd Adam bin Mohd Said yang menyampaikan taklimat bertajuk ‘Komunikasi Berkesan – Kaedah Nabi’.

Seminar itu nanti akan diakhiri dengan majlis penyampaian sijil kepada para peserta.

ARTIKEL YANG SAMA