Memahami pengurusan sisa air

Memahami pengurusan sisa air

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Sept – Pertubuhan Ukur, Jurutera dan Arkitek (PUJA), hari ini, telah mengadakan Kursus Pengenalan Pengurusan Sisa Air: Kos & Kemapanan yang berlangsung di Pusat Ujian Kemahiran Kerja dan Latihan (MODTC), Kementerian Pembangunan.

Kursus berkenaan, yang dihadiri oleh ahli-ahli PUJA, para pelajar dari Institut Teknologi Brunei, Politeknik Brunei dan para arkitek tempatan serta juruukur bahan, telah dikendalikan oleh penceramah undangan dari Malaysia Sr. Jailani Jasmani yang merupakan pakar dalam bidang kos dan kemapanan sisa air.

Kursus telah dibahagikan kepada tujuh bahagian iaitu Pengenalan kepada Pengurusan Sisa Air, Metode Pengukuran Standard (SMM) dan Senarai Kuantiti (BoQ), Rangkaian Paip Pembetungan dan Loji Rawatan Kumbahan, ekonomi dan kos, perolehan, isu-isu hijau dan kemapanan serta kajian kes.

Sr. Jailani Jasmani turut berkongsi pengalaman beliau mengenai penglibatan projek-projek pengurusan sisa air utama di Malaysia dan salah satu projek terbesar beliau adalah pada tahun 2013 iaitu Projek Rangkaian Pembetungan dan Loji Rawatan Kumbahan Langat (LSTP).

Beliau mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang industri pembinaan khususnya dalam perundingan pengukuran bahan dan pengurusan projek, manakala itu, pada masa ini beliau merupakan pengarah firma konsultasi juruukur bahan, JUB Central Sdn Bhd, yang berpangkalan di Kuala Lumpur.

Sr. Jailani Jasmani semasa menyampaikan taklimatnya.
Sr. Jailani Jasmani semasa menyampaikan taklimatnya.
Antara yang hadir pada kursus tersebut.
Antara yang hadir pada kursus tersebut.

Naib Presiden PUJA, Awang Mohd Shafie bin Haji Mohd Yusof semasa ditemui media menjelaskan bahawa kursus ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan PUJA dalam pembangunan profesional bagi ahli-ahlinya serta pakar industri tempatan dalam bidang pembinaan, minyak dan gas serta sebagainya.

PUJA juga sering mengadakan kursus-kursus seumpama ini sebanyak dua kali sebulan sepanjang tahun.

Menurut beliau lagi, di negara ini, pengurusan sisa air hanya dijalankan oleh pakar jurutera sahaja tetapi di Malaysia, mereka kini bergerak ke hadapan di mana juruukur bahan terlibat dalam projek infrastruktur awam

Proses penglibatan ini sangat menarik dan baru bagi Negara Brunei Darussalam dan ia turut membantu kemajuan pendidikan teknikal di negara ini di samping berkongsi pengalaman-pengalaman daripada pakar-pakar di luar negara.

ARTIKEL YANG SAMA