Memahami Perintah EKK 2016

Memahami Perintah EKK 2016

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 12 Okt – Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) bersama Jabatan Daerah Belait dan Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria, hari ini, telah mengadakan taklimat pemberigaan aktiviti perniagaan Establismen Kecantikan dan Kesihatan (EKK) yang berlangsung di dewan persidangan di sini.

Taklimat yang dihadiri hampir 100 orang dalam kalangan peniaga-peniaga EKK Daerah Belait, di bawah kawalan Jabatan Daerah Belait dan Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria, adalah bagi memberikan kefahaman mengenai Perintah EKK 2016, yang telah dikuatkuasakan pada 1 Januari lalu.

Timbalan Setiausaha Tetap di KHEDN, Haji Muhammad Sunadi bin Haji Buntar ketika ditemui media di majlis itu menjelaskan bahawa taklimat yang diadakan memberikan peluang kepada peniaga-peniaga memberikan maklum balas dan kefahaman berkenaan dengan keperluan dalam mengadakan perusahaan berkenaan.

Menurutnya, sebelum perintah tersebut dikuatkuasakan, pihak penguatkuasaan jabatan-jabatan berkenaan memang sentiasa membuat pemeriksaan ke atas aktiviti-aktiviti tukang gunting, tukang urut dan sebagainya, serta para peniaga yang didapati melakukan perkara yang bertentangan dengan peraturan ada juga diarahkan menutup kedai mereka.

Bagaimanapun, tambah beliau lagi, dengan penguatkuasaan Perintah EKK 2016, dengan menggunakan Sistem Penilaian Establismen Kecantikan dan Kesihatan (PEKKa), sama seperti Sistem Mata Demerit, penilaian dan tindakan yang diberikan adalah seragam di seluruh negara dan lebih terarah.

Haji Muhammad Sunadi ketika menyampaikan taklimat tersebut.
Haji Muhammad Sunadi ketika menyampaikan taklimat tersebut.
Antara yang menghadiri taklimat berkenaan.
Antara yang menghadiri taklimat berkenaan.

Beliau menambah, dengan adanya peraturan ini, ia akan lebih tulus, dan para pengusaha perlu diberikan kefahaman dan pengetahuan mengenai dengan sistem PEKKa ini, supaya akan dapat sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan, dan dengan penilaian mata melebihi 20 yang melanggar peraturan perniagaan akan diberhentikan.

“Pada dasarnya, perintah ini adalah bagi menjaga kemaslahatan negara dan ke arah itu pihak penguat kuasa akan terus mengadakan pemeriksaan dari semasa ke semasa dengan menggunakan panduan sistem yang telah ditetapkan. Kepada orang ramai yang ingin membuat laporan boleh menghubungi Jabatan Bandaran atau Jabatan Daerah di daerah masing-masing,” ujarnya.

Pada majlis itu, taklimat telah disampaikan oleh Penolong Pegawai Bandaran Tingkat 1, Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria, Awang Abu Bakar bin Haji Abdullah yang antara lain menjelaskan tentang tatacara permohonan perniagaan EKK yang baru.

Orang ramai boleh mendaftarkan nama-nama perniagaan di Bahagian Pendaftar Nama-Nama Perniagaan dan Bahagian Pendaftaran Syarikat-Syarikat (ROCBN), Kementerian Kewangan dan mendapatkan Lesen EKK di kaunter KHEDN di ROCBN.

Pembaharuan Lesen EKK pula boleh dilakukan di Tingkat 1, Bangunan Reka Bentuk & Teknologi, Business Support Centre (BSC), Kampung Anggerek Desa, Taman Teknologi Anggerek Desa dan Kaunter Business Facilitation Centre (BFC) di Ibu Pejabat Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria.

Lesen EKK sah digunakan untuk tempoh tiga tahun daripada tarikh ia dikeluarkan dengan bayaran sejumlah $300 dan bayaran pentadbiran $2. Jika Lesen EKK hilang atau rosak, lesen gantian akan dikenakan bayaran sebanyak $10.

Pada sesi taklimat itu, peniaga-peniaga juga dinasihatkan untuk sentiasa mengikuti syarat dan peraturan EKK 2016 dan agensi penguatkuasaan akan menggunakan sistem PEKKa, iaitu borang yang akan digunakan oleh pegawai yang diberi kuasa di bawah perintah tersebut untuk menilai perniagaan semasa menjalankan pemeriksaan dan pemantauan ke premis-premis EKK.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awang Hasmiron bin Haji Mohd Taib, Pemangku Pengerusi Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria, Awang Sarih bin Tabong serta pegawai-pegawai kanan jabatan kerajaan dan ketua-ketua cawangan jabatan kerajaan di daerah ini.

ARTIKEL YANG SAMA