Memahami proses permohonan Lesen Pekerja Asing

Memahami proses permohonan Lesen Pekerja Asing

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 18 Okt – Jabatan Buruh, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), pagi tadi, telah mengadakan Jerayawara Pemberigaan Proses Permohonan Lesen Pekerja Asing (LPA) bagi Daerah Tutong yang berlangsung di Dewan Utama, Kompleks Kemasyarakatan Daerah Tutong.

Turut hadir ialah Penolong Pesuruhjaya Buruh, Dayang Aemy Azlena binti Haji Azdhari selaku Pengerusi Majlis bersama pegawai-pegawai kanan di Jabatan Buruh dan pegawai-pegawai dari Agensi Pekerjaan Tempatan dan Pembangunan Tenaga Kerja (APTK) dan Tabung Amanah Pekerja (TAP).

Antara isi kandung jerayawara tersebut adalah taklimat oleh Penolong Pesuruhjaya Buruh, Hajah Norajimah binti Haji Ali yang menerangkan mengenai LPA secara terperinci.

Kemudian taklimat mengenai tatacara pembayaran wang taruhan pengambilan pekerja asing dengan menumpukan kepada penggunaan Jaminan Insurans Takaful Pekerja Asing (JITPA) disampaikan oleh Pegawai Kewangan Jabatan Buruh, Dayang Asiah binti Ibrahim. JITPA ini merupakan satu proses yang perlu dibuat setelah mendapatkan LPA.

Selain itu, taklimat juga menerangkan mengenai sistem e-amanah oleh pegawai TAP dan taklimat mengenai pendaftaran mandatori yang disampaikan oleh pegawai APTK.

Antara ahli panel yang menyampaikan taklimat di Jerayawara Pemberigaan Proses Permohonan Lesen Pekerja Asing (LPA)
Antara ahli panel yang menyampaikan taklimat di Jerayawara Pemberigaan Proses Permohonan Lesen Pekerja Asing (LPA)

Di akhir acara, sesi dialog di antara para majikan dan Jabatan Buruh serta ahli-ahli panel taklimat turut dijalankan.

LPA merupakan proses baru yang diperkenalkan di Jabatan Buruh iaitu permohonan untuk mendapatkan kebenaran mendatangkan pekerja asing bagi berkhidmat di syarikat sektor-sektor swasta di negara ini. Secara ringkasnya, proses ini merupakan penggabungan proses Permohonan Lesen Pengambilan Pekerja Asing dan juga Proses Sokongan Pas Kerja menjadi satu proses sahaja.

Proses LPA ini mula dilaksanakan pada 1 Oktober 2016 iaitu bagi permohonan lesen baru sahaja.

Adapun objektif perlaksanaan proses baru LPA ini adalah untuk memberi perkhidmatan yang berkualiti dan efisien dan memudahkan orang ramai berurusan ke Jabatan Buruh di samping mendokong hasrat negara ke arah persekitaran yang pro-perniagaan dan pengawalan pekerja yang lebih teratur dan selamat bagi menjaga kepentingan nasional.

Antara majikan di Daerah Tutong yang menghadiri jerayawara tersebut.
Antara majikan di Daerah Tutong yang menghadiri jerayawara tersebut.

Ia juga bertujuan mengutamakan penduduk tempatan dalam pengambilan jawatan-jawatan dalam sektor industri yang dipegang oleh pekerja asing yang mana ia akan diisikan oleh pekerja tempatan secara berperingkat-peringkat menggunakan mekanisme Nisbah Tempatan Asing.

Proses permohonan lesen baru ini akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat, fasa pertama iaitu Permohonan Lesen Baru telah bermula pada 1 Oktober 2016, fasa kedua iaitu Permohonan Lesen Tambahan akan bermula pada 1 Januari 2017 dan fasa ketiga iaitu Permohonan Lesen Membaharui dan Pertukaran Kontrak akan bermula pada 1 April 2017.

Ini adalah untuk memberi ruang kepada majikan-majikan yang telah sedia ada mempunyai Lesen Pengambilan Pekerja Asing untuk membuat pendaftaran di APTK dan TAP kerana ia diperlukan sebelum membuat permohonan LPA.

Bagi mengetahui maklumat lanjut mengenai proses permohonan LPA, majikan-majikan dan pihak yang berkepentingan bolehlah melayari laman sesawang Jabatan Buruh di www.labour.gov.bn atau melalui Facebook Jabatan Buruh Negara Brunei Darussalam dan Instagram labour.Brunei atau berkunjung terus ke Bangunan Jabatan Buruh, di Jalan Dewan Majlis, Bandar Seri Begawan dan mana-mana cawangan pejabat buruh.

ARTIKEL YANG SAMA