Memandu cuai kena $2,000

Memandu cuai kena $2,000

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Mei – Seorang lelaki tempatan dikenakan denda $2,000 oleh Mahkamah Majistret hari ini, selepas didapati bersalah memandu dengan cuai sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain.

Mohammad Wafiuddin @Mohammad Syazwan bin Haji Puasa, 22, mengaku melakukan kesalahan itu di Lebuh Raya Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada 6 Mei 2015 kira-kira jam 3:15 petang.

Pemangku Majistret Kanan Azrimah binti Haji Abdul Rahman juga memerintahkan tertuduh dipenjarakan dua bulan jika gagal membayar denda, dan turut mengarahkan lesen memandu tertuduh digantung selama 12 bulan.

Timbalan Pendakwa Raya Dayangku Hazirah binti Pengiran Mohd Yusof dalam fakta kes menyebut, tertuduh pada hari kejadian sedang memandu kereta Nissan Sunny di Lebuh Raya Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Tertuduh memberhentikan keretanya di tepi lebuh raya apabila polis pengiring membunyikan siren supaya pengguna dapat memberi laluan kepada kereta VVIP.

Sebaik sahaja polis pengiring melewati kereta tertuduh, tertuduh terus memandu keretanya di laluan VVIP dan menghampiri kereta VVIP sehingga pemandunya terpaksa membunyikan hon, menekan brek dan membelok ke kiri untuk mengelakkan perlanggaran berlaku dengan kereta tertuduh.

Siasatan mendapati tertuduh ketika itu tidak memberi perhatian sepenuhnya di jalan raya dan pada masa sama, sedang memegang telefon bimbit di tangan kirinya sambil mendengar lagu.

Tertuduh didapati mengabaikan amaran polis pengiring yang merupakan sebahagian daripada pengiring kereta VVIP di mana tertuduh memandu keretanya secara cuai apabila dia memasuki laluan kereta VVIP.