Memanfaatkan teknologi dalam pembelajaran

Memanfaatkan teknologi dalam pembelajaran

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Ogos – Sebagai usaha untuk memanfaatkan teknologi dalam membantu pembelajaran dan penyelidikan, Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Mindplus Education Sdn Bhd, baru-baru ini.

UBD yang diwakili oleh Pengarah Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat (C3L), Profesor Abdal-Hakim Hardaker @Glenn Hardaker dan Mindplus Education yang diwakili oleh Ketua Pegawai Esekutif Pengiran Khairi bin Pengiran Haji Metussin telah menandatangani MoU yang disaksikan oleh Penolong Naib Canselor (Korporat dan Pentadbiran) UBD, Dayang Rubiah binti Haji Yacub dan Projek Eksekutif Mindplus Education, Awangku Mohd Azri bin Pengiran Haji Metussin.

Profesor Hardaker dalam ucapannya berkata, harapan kedua-dua pihak adalah untuk mengusahakan projek ‘Menyesuaikan Portfolio bagi Pembelajaran Peribadi’ yang ditaja oleh Majlis Penyelidikan Brunei.

Projek ini menumpukan penyelidikan dan kemajuan yang menyokong pengalaman peribadi secara dalam talian dan dalam bilik darjah dengan harapan untuk memberikan penyelesaian teknologi bagi hasil kajian daripada projek tersebut.

Mindplus juga menyokong perkembangan Adaptive Learning Portfolio Tool Kit (APPL) yang dikukuhkan dengan konsep pedagogi Islam.

Majlis penandatanganan MoU yang ditandatangani oleh Pengiran Khairi bagi pihak Mindplus Education dan Profesor Abdal-Hakim Hardaker@Glenn Hardaker bagi pihak UBD.
Majlis penandatanganan MoU yang ditandatangani oleh Pengiran Khairi bagi pihak Mindplus Education dan Profesor Abdal-Hakim Hardaker@Glenn Hardaker bagi pihak UBD.
Pengiran Khairi bertukar-tukar dokumen bersama Profesor Abdal-Hakim Hardaker@Glenn Hardaker.
Pengiran Khairi bertukar-tukar dokumen bersama Profesor Abdal-Hakim Hardaker@Glenn Hardaker.

Pengiran Khairi pula berkata, “Kerjasama ini amat bermakna bagi kedua-dua pihak dan menjadi permulaan yang bagus bagi kami untuk memaksimumkan teknologi dalam pendidikan moden. Brunei mempunyai potensi besar dalam pasaran dengan sumber pengetahuannya yang luas.”

Mindplus Education adalah firma teknologi yang baru ditubuhkan dan pakar dalam inovatif penyelesaian IT bagi keperluan pembelajaran. Syarikat ini telah memenangi beberapa anugerah termasuk Ignite Open Category 2012, Brunei ICT Awards 2012, Brunei ICT Awards 2013 dan ASEAN ICT Awards 2013.

Mindplus Education baru-baru ini membuka cawangan di Indonesia dan mengeluarkan produk pertamanya bagi pasaran Indonesia yang digelar Islamic Mind Indonesia pada Disember 2015.

UBD telah bekerjasama rapat dengan rakan-rakan industri untuk meningkatkan pengajaran dan kajiannya. Tahun lepas, UBD meningkatkan kerjasama dengan perbadanan antarabangsa seperti Pixela Corporation dari Jepun dan Sengenics yang berpangkalan di United Kingdom untuk mencipta peluang kerjasama penyelidikan. UBD juga bekerjasama dengan PlaTCOM Ventures dalam menjamin dan mengkomersialkan harta intelek (IP).

ARTIKEL YANG SAMA