Memantapkan sistem pendidikan agama

Memantapkan sistem pendidikan agama

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 8 Okt – Seramai 460 orang murid Darjah Pra hingga Darjah 6 bersama guru-guru dan kakitangan Sekolah Ugama Sungai Taring, Lumut turut serta pada Program Keagamaan Senegara Persekolahan Agama dan Arab bagi bulan Oktober yang berlangsung di dewan serba guna sekolah tersebut, hari ini, di sini.

Acara tersebut dikendalikan bersama Jabatan Pengajian Islam dengan misinya untuk meningkatkan dan memantapkan sistem pendidikan dan pelajaran agama menerusi pengurusan dan pendekatan yang berkesan dan dinamik.

Menurut Guru Besar Sekolah Ugama Sungai Taring, Dayang Zalefah binti Asmad berkata, beliau berhasrat untuk melihat sekolah tersebut meningkatkan pencapaiannya dari tahun lepas.

“Alhamdulillah, bagi tahun lepas sekolah ini mempunyai 95 peratusan mereka (murid-murid) yang lurus secara keseluruhan,” katanya.

Beliau berharap murid-murid tahun ini akan belajar dengan bersungguh-sungguh untuk mendapat kelulusan mata pelajaran dengan lebih tinggi lagi.

Di antara murid-murid dan guru-guru yang hadir pada program keagamaan tersebut.
Di antara murid-murid dan guru-guru yang hadir pada program keagamaan tersebut.

Menyentuh mengenai proses pembelajaran dan persiapan untuk menghadapi peperiksaan besar terutamanya bagi murid-murid Darjah 6 yang akan menduduki Peperiksaan Sijil Sekolah-sekolah Rendah Ugama (SSRU), beliau turut mengongsikan dengan media mengenai rancangan bagi bulan-bulan seterusnya.

“Dalam rancangan masa ini adalah untuk menjemput seorang penceramah dari Bahagian Kaunseling di Jabatan Sekolah-sekolah untuk memberi ceramah motivasi kepada murid-murid di sini nanti, serta mempersiapkan diri mereka dengan mengulang kaji mata pelajaran,” ujar Dayang Zalefah.

Menurutnya lagi, ujian lisan bagi Darjah Pra hingga Darjah 3 akan bermula 27 Oktober ini manakala ujian bertulis akan diadakan pada 29 dan 31 Oktober dan pada 2 November.

Manakala, ujian lisan bagi Darjah 4 dan 5 adalah pada 29 Oktober hingga 7 November dan ujian bertulis akan diadakan pada 10 hingga 14 November.

Peperiksaan SSRU bagi Darjah 6 pula akan diadakan bermula 18 hingga 26 November.

Dalam acara petang tadi, tazkirah motivasi peperiksaan telah disampaikan oleh Hajah Masnah binti Haji Mohd Abun, manakala solat sunat Hajat berjemaah diimamkan oleh Awang Mohd Zulkarnain bin Suan.

Program diteruskan dengan bacaan Surah Yasin yang dipimpin oleh pelajar Darjah 6 iaitu Awang Zarif Danish bin Yazid Imran dan bacaan doa peperiksaan serta Doa Peliharakan Sultan dibacakan oleh Awang Mohd Zain bin Haji Johari.

ARTIKEL YANG SAMA