Memastikan banci berjalan lancar

Memastikan banci berjalan lancar

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 17 Ogos – Bagi memastikan proses Kemas Kini Banci Penduduk dan Perumahan (KBPP) 2016 berjalan dengan lancar, sesi muzakarah bersama penghulu dan ketua kampung Daerah Tutong mengenainya telah pun diadakan di Dewan Rasmi Pegawai Daerah Tutong, Sungai Basong, Tutong, pagi tadi.

Turut hadir semasa sesi muzakarah tersebut ialah Pemangku Penolong Pegawai Daerah Tutong, Haji Haizul Rizal bin Haji Yahya; para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung di Daerah Tutong.

Pemangku Ketua Pengarah Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi, Haji Abdul Amin bin Haji Hashim menjelaskan, tujuan sesi muzakarah diadakan adalah bagi membantu pegawai-pegawai banci yang akan melawat rumah-rumah dan penduduk di mukim dan kampung di Daerah Tutong supaya para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung dapat bekerjasama bersama pegawai-pegawai banci dalam melaksanakan KBPP 2016.

Menurut beliau lagi, banci penduduk dan perumahan ini sebenarnya akan diadakan pada tahun 2021, namun oleh sebab tempoh masa 10 tahun, kebanyakan maklumat tersebut tidak lagi sah, sebagai misalnya jumlah penduduk kampung yang semakin berkurangan dan jumlah penduduk kampung yang semakin meningkat terutama penghijrahan penduduk kampung ke kawasan perumahan seperti di Mukim Telisai.

Untuk memastikan segala maklumat adalah terkini, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE) mengendalikan KBPP 2016 bagi Negara Brunei Darussalam bermula Mei hingga November 2016.

Haji Abdul Amin semasa menyampaikan ucapan pada Sesi Muzakarah Bersama Penghulu dan Ketua Kampung Daerah Tutong mengenai Kemas kini Banci Penduduk dan Perumahan (KBPP) 2016 pagi tadi.
Haji Abdul Amin semasa menyampaikan ucapan pada Sesi Muzakarah Bersama Penghulu dan Ketua Kampung Daerah Tutong mengenai Kemas kini Banci Penduduk dan Perumahan (KBPP) 2016 pagi tadi.

Perkara ini, jelas beliau, akan dapat membantu pihak kerajaan atau penggubal-penggubal dasar di negara ini menyediakan apa jua dasar atau perkhidmatan atau pelan tindakan bagi membantu penduduk kampung dan orang ramai dari segi memastikan kesejahteraan mereka untuk diambil kira oleh pihak kerajaan.

Objektif utama KBPP 2016 adalah untuk mengemas kini bilangan dan maklumat penduduk yang telah diperolehi semasa BPP 2011 yang meliputi ciri-ciri demografi, pendidikan dan pekerjaan di samping mengemas kini bilangan dan senarai perumahan di seluruh negara bagi kegunaan banci dan kajian akan datang.

Pada majlis itu, sebelum sesi muzakarah dijalankan, sesi taklimat mengenai pengenalan KBPP 2016 telah disampaikan oleh Pegawai Perangkaan JPKE, Dayang Norizan binti Abdullah.

KBPP 2016 dilaksanakan dalam dua fasa iaitu fasa pertama (Mei hingga September 2016) dijalankan secara berperingkat-peringkat dan meliputi semua keluarga atau isi rumah dan penduduk sama ada rakyat Negara Brunei Darussalam, penduduk tetap atau penduduk sementara bagi mengemas kini maklumat ciri-ciri peribadi, peringkat pendidikan dan pekerjaan.

Manakala itu, fasa kedua dijalankan bulan Oktober hingga November 2016 dengan melibatkan kira-kira 5,000 buah keluarga atau isi rumah sahaja yang telah dipilih secara rambang di beberapa buah kampung atau kawasan bagi mengumpulkan maklumat yang lebih terperinci mengenai ciri-ciri tenaga kerja.

Semasa fasa pertama dijalankan, pegawai banci yang dilantik akan melawat ke tempat-tempat kediaman di seluruh negara bagi tujuan penomboran rumah dan seterusnya akan memasang pelekat bagi setiap kediaman. Pegawai-pegawai banci akan menghantar surat makluman dan borang tanya banci kepada isi rumah.

Pengumpulan maklumat banci ini dijalankan melalui self-Enumeration (self-E), di mana ketua atau ahli isi rumah mengisikan sendiri borang tanya yang disediakan untuk diambil semula dan disemak oleh pegawai banci pada tarikh yang dipersetujui bersama.

Pegawai-pegawai banci boleh juga mengadakan temu duga bersemuka jika dikehendaki oleh ketua atau ahli isi rumah berkenaan.

KBPP 2016 ini dijalankan di bawah Akta Banci, Penggal 78 dari Undang-Undang Negara Brunei Darussalam, Akta Banci mewajibkan orang ramai menjawab semua soalan banci dan menjamin bahawa maklumat individu adalah disimpan sulit dan dirahsiakan.

Hasil yang diperolehi melalui KBPP 2016 ini akan dapat memberikan tanda aras baru bagi kegunaan penilaian, perancangan dan pembentukan dasar oleh pihak kerajaan dan pelbagai tujuan penganalisisan dan penyelidikan oleh pengguna-pengguna lain.

Oleh yang demikian, JPKE berharap sokongan dan kerjasama semua orang dalam memberikan maklumat yang tepat dan lengkap adalah sangat diharapkan bagi sama-sama menjayakan KBPP 2016 ini.

JPKE mengambil kesempatan untuk menyeru kepada orang ramai supaya akan dapat memberikan kerjasama kepada pegawai banci untuk memastikan KBPP 2016 ini berjalan dengan lancar.

Sebarang pertanyaan mengenai KBPP 2016 ini bolehlah dirujuk ke JPKE melalui talian 2230250 atau 2230265 pada waktu pejabat atau e-mel ke alamat population.census@jpke.gov.bn atau menerusi ke laman web www.depd.gov.bn

ARTIKEL YANG SAMA