Membaca dapat kuasai penuturan, berbahasa

Membaca dapat kuasai penuturan, berbahasa

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Mei – Membaca merupakan aktiviti yang sangat menyeronokkan dan banyak memberi manfaat untuk menjadikan individu sentiasa berfikir.

Pengalaman daripada membaca juga memberi pengajaran akan baik dan buruk sesuatu selain meningkatkan daya fikir yang kreatif seterusnya penyumbang kepada meningkatkan imaginasi, idea, moral akhlak yang baik dan dapat membentuk karakter dan keyakinan diri.

Membaca juga dapat menambah perbendaharaan kata atau kosa kata seterusnya dapat menguasai penuturan dan berbahasa dengan baik, tambah Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil.

Sehubungan itu, tabiat membaca perlu disemai dari awal dalam diri kanak-kanak kerana minat terhadap buku pada peringkat awal ini akan menjadikan minat tersebut berpanjangan hingga menjadi kebiasaan.

Beliau menekankan perkara ini ketika menyampaikan ucapan pada Peraduan Mari Bercerita Peringkat Negara 2016 yang berlangsung di Dewan Raya Radio Televisyen Brunei (RTB), di ibu negara, hari ini.

Tetamu kehormat menyampaikan hadiah kepada Muhammad Amin Wa’ie, johan Peraduan Mari Bercerita Peringkat Negara 2016.
Tetamu kehormat menyampaikan hadiah kepada Muhammad Amin Wa’ie, johan Peraduan Mari Bercerita Peringkat Negara 2016.

Menurut beliau lagi, pada masa ini bahan bacaan tidak hanya terhad kepada bahan cetak seperti buku dan majalah tapi bahan baca boleh diperoleh dalam talian serta dalam gajet.

Aktiviti membaca sekarang, tambahnya, tidak lagi terbatas dan apa yang penting ialah adanya masa dan keinginan untuk membaca.

Dalam usaha mewujudkan masyarakat bermaklumat dan berilmu pengetahuan, institusi perpustakaan memainkan peranan dalam menyalurkan ilmu dengan menyediakan pelbagai perkhidmatan dan kemudahan kepada orang ramai.

Ke arah ini, jelasnya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berperanan penting dalam meningkatkan budaya membaca di samping agensi berkepentingan dalam peningkatan ilmu pengetahuan masyarakat di negara ini di mana sehingga kini sebanyak sembilan buah perpustakaan di seluruh daerah dan sebuah perpustakaan di Mukim Buku di Kampung Rimba.

Dengan adanya perpustakaan ini, beliau menyeru masyarakat untuk sering berkunjung ke perpustakaan dengan membawa anak-anak dan ahli keluarga dalam membudayakan membaca seterusnya mendukung harapan dan objektif SPN21 dan Wawasan Brunei 2035.

Beliau seterusnya menambah, untuk memupuk tabiat membaca dan cintakan ilmu dalam kalangan masyarakat di negara ini, agensi yang berkepentingan perlu lebih kreatif mencipta kepelbagaian aktiviti atau kegiatan membaca.

“Promosi membudayakan membaca yang dipelbagaikan juga perlu untuk menarik perhatian masyarakat akan kepentingan dan kemampuan membaca di negara ini,” ujar beliau lagi.