‘Membantu Sekolah Mendidik Anak Biskita’

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Feb – Bagi memberikan ilmu pengetahuan kepada ibu bapa mengenai perkembangan Polar Minda, Sekolah Menengah Pengiran Isteri Hajjah Mariam (SM PIHM), Serasa, melalui persatuan ibu bapa dan guru-guru (PIBG) telah mengadakan Jerayawara Membantu Sekolah Mendidik Anak Biskita di sekolah berkenaan, baru-baru ini.

Hadir selaku tetamu kehormat pada jerayawara tersebut ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman @ Othman yang juga selaku ketua Kampung Serasa.

Pengetua SM PIHM, Awang Omar Arif bin Abdullah Lasit semasa menyampaikan ucapan alu-aluan menjelaskan bahawa antara tujuan jerayawara yang julung kalinya diadakan itu adalah untuk mengeratkan lagi silaturahim antara warga sekolah dengan ibu bapa atau penjaga serta untuk berkongsi mengenai hala tuju sekolah visi dan misi sekolah.

Di samping itu, jerayawara juga bertujuan untuk menyemai minda dan sikap positif semua ibu bapa atau penjaga seterusnya memberigakan mengenai Inisiatif Pendidikan Menengah 2018.

Jerayawara dimulakan dengan sesi perkongsian oleh ahli-ahli PIBG SM PIHM yang menghadiri Konvensyen PIBG Peringkat Negara yang telah pun diadakan pada 20 Januari lalu iaitu sesi Bengkel Perkembangan Polar Minda dan seterusnya sesi sosialisasi Inisiatif Pendidikan Menengah 2018.

Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bersama ibu bapa dan guru-guru semasa membaca ikrar.

Pengetua SM PIHM juga menjelaskan bahawa pihak sekolah juga telah merangka perancangan dan penambahbaikan bagi pelan tindakan sekolah bagi mencapai visi dan misi sekolah selari dengan misi Kementerian Pendidikan bagi mencapai Wawasan 2035.

Penambahbaikan pelan tindakan sekolah ini adalah berpandukan Inisiatif Pendidikan Menengah 2018 yang memfokuskan empat bidang iaitu mempraktikkan kepimpinan pendidikan, mengembangkan kualiti pengajaran dan pembelajaran serta keberkesanan hubungan di antara sekolah dan ibu bapa pelajar dari rumah.

Awang Omar Arif menambah, jerayawara tersebut menumpukan kepada keberkesanan hubungan di antara sekolah dan ibubapa pelajar dari rumah.

Jerayawara juga diikuti dengan bacaan ikrar oleh ibu bapa dan penjaga, sesi kongsi sama dengan wakil PIBG yang disampaikan oleh Awang Hamdan bin Haji Tuah dan Dayang Suriayati binti Haji Mohiddin dan seterusnya kongsi sama mengenai hasil kaji selidik daripada Hajah Arni binti Haji Besar.

Jerayawara turut diisi dengan Bengkel Growth Mind Set (Perkembangan Pola Fikir) dan Inisiatif Pendidikan Menengah yang disampaikan oleh Dayangku Hajah Raabayaeiah binti Pengiran Haji Othman dan Hajah Juzailahwati binti Haji Johari.