Membeli sambil beramal

Membeli sambil beramal

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 April – Bagi mengeratkan lagi tali silaturahim dalam kalangan penduduk kampung, Majlis Perundingan Kampung (MPK) RPN Tanah Jambu buat pertama kalinya mengadakan Jualan Bazar Amal bermula hari ini hingga 1 Mei.

Dengan mengetengahkan tema ‘Berkunjung Mesra, Sambil Beramal’, jualan di sepanjang jalan berdekatan dengan tanah lapang Jalan Binglu, RPN Tanah Jambu itu telah dirasmikan oleh Ketua Kampung Sungai Buloh, Pengiran Haji Ismail bin Pengiran Ibrahim selaku tetamu kehormat majlis.

Juga hadir ialah Ketua Kampung Batu Marang, Haji Maidin bin Tarip, ahli-ahli jawatankuasa (AJK) Subkomiti di bawah MPK RPN Tanah Jambu, AJK Acara Jualan Bazar Amal RPN Tanah Jambu serta para penduduk Kampung RPN Tanah Jambu.

Majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dan diteruskan dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Pengerusi Majlis, Awang Abdul Majid bin Haji Ali.

Tetamu kehormat merasmikan Jualan Bazar Amal dengan memotong reben.
Tetamu kehormat merasmikan Jualan Bazar Amal dengan memotong reben.

Beliau berkata, antara tujuan bazar itu adalah bagi membangun masyarakat setempat supaya bersatu padu bagi menjayakan apa jua projek-projek yang akan diungkayahkan pada masa akan datang.

Selain itu, ia juga memberikan peluang kepada penjaja di kawasan RPN Tanah Jambu bagi menambahkan lagi pendapatan mereka dengan projek yang diadakan itu, serta menyahut seruan kerajaan untuk meningkatkan ekonomi dengan berniaga.

“Dengan adanya majlis jualan bazar amal ini, hasil kutipan ini nanti akan disalurkan kepada anak-anak yatim di bawah Mukim Mentiri yang mana waktu penutup hari Ahad ini nanti, akan diserahkan kepada anak-anak yatim yang Insya-Allah akan disampaikan oleh tetamu kehormat majlis ini nanti juga,” ujarnya lagi.

Tetamu kehormat kemudiannya merasmikan majlis dengan memotong reben, dan diteruskan dengan penyerahan cenderahati kepada ketua Kampung Sungai Buloh dan ketua Kampung Batu Marang yang disampaikan oleh pengerusi majlis.

Bagi memeriahkan suasana, persembahan silap mata telah dipersembahkan oleh pengerusi majlis sendiri sambil para tetamu menikmati jamuan yang telah disediakan.

ARTIKEL YANG SAMA