Membeli sambil beramal

Membeli sambil beramal

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 April – Jualan Amal Pesta Pantai Muara secara rasminya dilancarkan hari ini di Taman Peranginan Pantai Muara yang akan berlangsung selama empat hari hingga Ahad ini.

Pelancarannya petang tadi telah disempurnakan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Tahamit bin Haji Nudin yang juga Penghulu Mukim Gadong ‘A’.

Turut hadir ialah Penghulu Mukim Gadong B, Mejar (B) Haji Bakar bin Sapar dan Ketua Kampung Kiulap, Haji Mohammad bin Abu Bakar selaku pengerusi majlis.

Yang Berhormat Haji Tahamit dalam ucapan perasmiannya berkata dengan adanya acara jualan ini, boleh membawa orang ramai untuk membeli-belah sambil beramal demi mendapatkan sesuatu, yang tanpa disedari melakukan amalan yang sangat-sangat diredai Allah S.W.T.

“Saya juga berbangga di atas pencapaian Kampung Kiulap yang semakin terus menunjukkan daya kebolehan kampung ini untuk tidak ‘camah mata’ ataupun tidak ada rasa untuk bersikap tidak pemedulian di atas anak-anak yatim yang ada di Kampung Kiulap,” tambah Yang Berhormat lagi.

Yang Berhormat Haji Tahamit dan Ketua Kampung Kiulap ketika melawat ke salah satu petak pameran pada acara jualan tersebut.
Yang Berhormat Haji Tahamit dan Ketua Kampung Kiulap ketika melawat ke salah satu petak pameran pada acara jualan tersebut.

SONY DSC

Beliau seterusnya melahirkan harapan agar Kampung Kiulap akan dapat meneruskan usaha mereka mengadakan acara jualan amal berkenaan pada masa-masa akan datang.

Majlis perasmian diteruskan lagi dengan penyampaian derma kepada anak-anak yatim dan juga persembahan tarik kalat yang disertai oleh tetamu kehormat sendiri.

Selain itu, Yang Berhormat Haji Tahamit juga dijemput untuk melawat petak-petak jualan, pameran reptilia, pameran kucing, pameran burung dan lain-lain.

Acara anjuran Majlis Perundingan Kampung Kiulap dengan kerjasama Jabatan Daerah Brunei dan Muara itu diadakan bagi membantu anak-anak di Kampung Kiulap di samping mengisi masa lapang sempena cuti penggal pertama persekolahan.