Membentuk belia cemerlang

Membentuk belia cemerlang

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Dis – Kumpulan Alumni Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI) di bawah Program Persatuan Brunei-AS (BUSA) mengadakan Bengkel Pengurus Projek Muda (YouPM) selama empat hari yang berlangsung di Galeri ICTC, Universiti Brunei Darussalam hari ini untuk melahirkan pemimpin muda daripada kalangan belia yang berpengetahuan dan berpengalaman supaya menjadi pemimpin masyarakat di masa akan datang.

Bengkel selama empat hari dan berakhir hari ini, disertai seramai 30 orang belia yang berusia di antara 18 hingga 30 tahun dengan majlis penutupannya dan penyampaian sijil penyertaan disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Turut hadir di majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dato Paduka Dr. Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, pengarah-pengarah, pegawai-pegawai kanan serta para peserta bengkel yang diraikan.

Semasa program, belia-belia berkenaan telah membentang projek-projek yang bertemakan alam sekitar, pembangunan masyarakat dan pembangunan ekonomi.

p04-1_20151210

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta bengkel.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta bengkel.
Yang Berhormat Pehin bersama antara yang hadir di majlis itu.
Yang Berhormat Pehin bersama antara yang hadir di majlis itu.
Awang Firdaus menyampaikan ucapannya di majlis itu.
Awang Firdaus menyampaikan ucapannya di majlis itu.
Gambar ramai para peserta bersama sijil penyertaan mereka masing-masing.
Gambar ramai para peserta bersama sijil penyertaan mereka masing-masing.

p04-6_20151210

Yang Berhormat Pehin bergambar ramai bersama jemputan dan peserta yang diraikan.
Yang Berhormat Pehin bergambar ramai bersama jemputan dan peserta yang diraikan.

Pengerusi majlis, Awang Firdaus Ismail dalam ucapannya menyatakan bahawa Program Pengurus Projek Muda itu bermatlamat untuk membekalkan belia-belia dengan pengetahuan dan pengalaman yang dapat membentuk mereka untuk menjadi pemimpin masyarakat di masa depan.

Ia juga berfungsi sebagai platform untuk membina profesionalisme, membincang isu-isu semasa dan meningkatkan minat belia dalam inisiatif-inisiatif sukarelawan.

Menurut beliau, para peserta program sebagai tulang belakang negara, adalah diharapkan tahap semangat dan komitmen yang telah diterapkan dalam kepimpinan dan penyelarasan projek-projek itu tidak terbatas kepada program itu sahaja tetapi juga akan diamalkan dalam kehidupan seharian.

Para peserta digalakkan untuk melanjutkan pelaksanaan projek mereka dengan penuh giat aktif dan inisiatif setelah berakhirnya program ini. Belia-belia digalakkan untuk menerapkan ilmu pengetahuan dan pengalaman yang telah diperolehi untuk membina diri dan menyumbang ke arah kecemerlangan.

Belia-belia Negara Brunei Darussalam berpotensi tinggi untuk menjadi penggerak masyarakat dan ejen perubahan negara bagi mencapai Wawasan Brunei 2035.

Sehubungan itu, beliau yakin bahawa program itu telah berjaya untuk memupuk sikap cekap, dedikasi, kreatif dan proaktif di kalangan peserta belia.

Pada masa yang sama, Awang Firdaus mengingatkan kepada para belia untuk sentiasa mengamalkan pemikiran pertumbuhan dan menyedari bahawa dengan berakhirnya program itu, menandakan permulaan bagi perjalanan kemajuan diri dan penyumbangan kepada masyarakat.

Majlis kemudian menyaksikan, Yang Berhormat Pehin menyempurnakan penyampaian sijil penyertaan bengkel kepada para peserta belia bengkel berkenaan dan diikuti dengan sesi bergambar ramai.

Melalui program empat hari itu, para peserta berpeluang untuk menyertai sesi ceramah, kegiatan berpasukan dan kumpulan perbincangan di mana mereka didedahkan kepada pelbagai isu dan tajuk termasuk perancangan projek, pengurusan kewangan, pengurusan pasukan, komunikasi dan memberikan peluang bagi memperluaskan lagi perkongsian ilmu pengetahuan secara interaktif sesama mereka sendiri serta di antara para belia dan golongan profesional.

Selepas menamatkan bengkel itu, para peserta bengkel diharap akan mengendalikan atau melaksanakan projek masing-masing dengan sokongan daripada ahli-ahli YSEALI.

ARTIKEL YANG SAMA