Membentuk buluh biarlah dari rebung

Membentuk buluh biarlah dari rebung

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Mac – Penerapan ilmu pengetahuan, kemahiran hidup serta pembentukan disiplin dan nilai-nilai murni perlu diterapkan ke jiwa kanak-kanak sejak usia muda lagi.

Ini kerana pelajar yang terdidik dengan baik sejak kecil akan memberikan impak besar apabila dewasa kelak, demikian kata Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman ketika berucap pada Perasmian Jambori Pengakap Tunas ke-4 Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam Sempena Sambutan 100 Tahun Pengakap Tunas Sedunia yang berlangsung di Pusat Latihan dan Kegiatan Pengakap Kebangsaan, Kompleks Pengakap, Jalan Gadong, hari ini.

“Bagi saya, inilah peranan kita sebagai orang dewasa sama ada dalam agensi kerajaan mahupun dalam pertubuhan bukan kerajaan dalam sama-sama menanai dan menggalas tanggungjawab membangunkan anak bangsa kita untuk menjadi pemimpin masa depan negara,” ujar Yang Berhormat Pehin.

Beliau berkata lagi, selain memberi pengalaman dan kemahiran berguna, aktiviti ko-kurikulum seperti perkhemahan itu dipercayai boleh memberikan kesedaran kepada para pelajar tentang keadaan alam kehidupan yang sebenar agar mereka tidak terlalu tenggelam dalam dunia khayalan melalui teknologi elektronik yang cepat berkembang.

Beliau seterusnya mengingatkan, keadaan itu jika tidak dikawal akan meracuni minda generasi dan dikhuatiri boleh merenggangkan rasa kekeluargaan dan kejiranan dalam kalangan masyarakat masa kini dan seterusnya boleh menggugat keharmonian dan kesejahteraan bernegara.

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi ketika berucap pada perasmian jambori.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi ketika berucap pada perasmian jambori.
Tetamu kehormat menyampaikan pingat kenangan kepada ketua kontinjen.
Tetamu kehormat menyampaikan pingat kenangan kepada ketua kontinjen.
Menteri Pendidikan diperkenalkan kepada ketua kontinjen.
Menteri Pendidikan diperkenalkan kepada ketua kontinjen.

Awal daripada itu, dalam ucapan alu-aluannya, Ketua Pesuruhjaya Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD), Haji Badar bin Haji Awang Ali berkata, penganjuran Jambori Pengakap Tunas ke-4 itu bertujuan untuk mengumpulkan kumpulan anak-anak pengakap yang berusia tujuh hingga 11 tahun yang masih bersekolah dalam kumpulan yang besar.

Melalui kumpulan itu, pelbagai kegiatan yang bersesuaian dengan tujuan Pengakap Tunas telah disediakan, yang mana sebahagian besar akan tertumpu kepada penggalakan bagi perkembangan jasmani, pemikiran, pergaulan, rohani dan emosi dalam kalangan kanak-kanak.

pg03_160321_d

pg03_160321_e

Persembahan ahli pengakap tunas.
Persembahan ahli pengakap tunas.

Menurutnya, tema ‘Bermula Dari Kami’ bermaksud seorang pemimpin atau dewasa mestilah bermula/pernah menjadi ahli Pengakap Tunas sebelum dia menjadi pemimpin pengakap yang cemerlang dan berkaliber.

Selain Negara Brunei Darussalam yang menghantar seramai 280 orang ahli Pengakap Tunas dari sembilan sekolah rendah kerajaan dan 10 sekolah rendah swasta, jambori itu juga disertai oleh Negeri Perak Darul Ridzuan, Selangor Darul Ehsan, Terengganu Darul Iman, dan Johor Darul Takzim, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, yang kesemuanya berjumlah 170 orang kanak-kanak ahli Pengakap Tunas Malaysia, bersama dua orang pemerhati daripada Persekutuan Pengakap Singapura.

Sejurus selepas berucap, tetamu kehormat telah dipersembahkan dengan beberapa persembahan tarian tradisional dan pencak silat oleh ahli-ahli pengakap negara peserta yang diikuti kemudiannya dengan memperkenalkan tetamu kehormat kepada ketua kontinjen pengakap negara peserta.

Hadir sama pada perasmian jambori itu ialah Yang Di-Pertua PPNBD, Dato Paduka Haji Idris bin Haji Abas, Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Dr. Hajah Romaizah binti Hasji Mohd Salleh dan Pengarah Jabatan Pendidikan kokurikulum, Pengiran Suhaimi bin Pengiran Haji Bakar.

ARTIKEL YANG SAMA