Membudayakan aktiviti berbasikal

Membudayakan aktiviti berbasikal

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Ogos – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan berangkat bercemar duli menyertai Riadah Berbasikal Keputeraan 2016 yang akan bermula dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar ’Ali Saifuddien, di sini, pada 14 Ogos 2016 ini.

Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dalam satu kenyataan hari ini berkata, acara riadah berbasikal itu nanti akan mengelilingi Bandar Seri Begawan sejauh 15 kilometer dan akan melintasi jalan-jalan utama antaranya Jalan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, Jalan Haji Basir, Jalan Kumbang Pasang, Jalan Perdana Menteri, Jalan Menteri Besar, Jalan Lebuhraya Sultan Hassanal Bolkiah, Jalan Tasek, Jalan Kianggeh dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar ’Ali Saifuddien.

Semasa melalui jalan-jalan berkenaan, para peserta akan dapat melihat monumen-monumen dan tapak bersejarah di sekeliling Bandar Seri Begawan yang merupakan tempat-tempat kegemaran yang dikunjungi pelancong.

Ke arah itu, KKBS mengajak orang ramai menyertai Riadah Berbasikal Keputeraan 2016, dengan penyertaannya adalah percuma. Acara akan bermula pada pukul 7:30 pagi, namun orang ramai dinasihatkan untuk datang lebih awal bagi kelancaran pelepasan kayuhan.

pg01_160810_a

Menurut kenyataan itu, program ini merupakan inisiatif KKBS sempena sukut baik sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-70 tahun, dengan objektif ke arah pembentukan budaya sukan dan pemantapan perpaduan menerusi penglibatan masyarakat secara menyeluruh yang menjurus kepada wujudnya warga sihat.

Ia dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Pembangunan, Kementerian Perhubungan, Kementerian Kesihatan dan kementerian-kementerian yang lain, serta Persekutuan Basikal Brunei Darussalam.

Penganjurannya memperlihatkan sukan khusus berbasikal diberi pengiktirafan, penghormatan dan penggalakan yang sama penting dengan sektor sosial yang lain bagi mencapai matlamat pembangunan negara, perpaduan dan kestabilan yang berterusan.

Dalam pada itu, KKBS dalam kenyataan turut menekankan bahawa mereka akan terus menerus mengusahakan aktiviti-aktiviti sukan untuk masyarakat, yang mana bagi kali ini, KKBS akan melihat respons orang ramai terutama bagi memupuk gaya hidup sihat melalui aktiviti berbasikal untuk dibudayakan sekali gus menghidupkan sukan berbasikal di negara ini dan menambahkan keceriaan ibu kota Bandar Seri Begawan pada hujung minggu.